Mas (Malaysia Airlines)
Mas (Malaysia Airlines)
KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines akan menambah lebih banyak kekerapan penerbangan ke dua destinasinya, Auckland dan Yangon, dan mengumumkan perkongsian kod baharu dengan Xiamen Airlines ke Xiamen dan Fuzhou.
Syarikat penerbangan itu berkata kekerapannya dari Kuala Lumpur ke Yangon, Myanmar, akan ditambah daripada sepuluh kali seminggu kepada 14 kali seminggu atau dua kali sehari bermula 1 Ogos, 2013.
Perkhidmatan dari Kuala Lumpur ke Auckland akan ditambah daripada enam kali seminggu kepada penerbangan harian bermula 24 Nov, 2013, kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini.
Mengenai perkongsian kod dengan Xiamen Airlines, Malaysia Airlines berkata ia akan beroperasi di dua laluan, iaitu laluan Xiamen, yang akan dikendalikan oleh Malaysia Airlines dan Xiamen Airlines dan laluan Fuzhou, yang akan hanya dikendalikan oleh Xiamen Airlines.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Ahmad Jauhari Yahya berkata perkongsian kod dengan Xiamen Airlines merupakan sebahagian daripada strategi syarikat penerbangan itu untuk menjalin kerjasama komersil dengan syarikat penerbangan utama dunia bagi mengembangkan penawaran rangkaiannya.
"Dengan 55 destinasi, Xiamen Airlines merupakan syarikat penerbangan kukuh yang menguasai bahagian pasaran besar daripada perjalanan pengembara antara Fuzhou dan Kuala Lumpur.
"Malaysia Airlines boleh memanfaatkan perkongsian kod ini bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada penumpang kami antara Xiamen dan Kuala Lumpur," katanya. - Bernama