http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2013/6/26/mstar_berita/20130626160631&sec=mstar_berita
KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjangkakan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut bakal menyaksikan saingan sengit ekoran kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar akibat kanser paru- paru pada pagi Rabu.
"Ini satu pilihan raya kecil yang sangat kritikal, kerana majoriti yang diperolehi oleh Umno di situ (kerusi Kuala Besut) agak membanggakan.
"Namun mereka (Umno) hanya mendapat kelebihan dua kerusi untuk membentuk kerajaan negeri Terengganu," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Selasa.
Anwar turut melahirkan keyakinan pilihan raya kecil yang pertama selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tersebut merupakan peluang terbaik kepada dan Pakatan Rakyat merampas kembali kerusi berkenaan.
"Kita ucapkan takziah kepada keluarga arwah (Adun Kuala Besut).
"Saya percaya PAS juga akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat untuk mengisi kekosongan kerusi berkenaan," katanya.
Dr A.Rahman meninggal dunia, kira-kira pukul 10 pagi, Rabu di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham mengalahkan calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.
Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.
Pilihan Raya Kecil Kuala Besut bakal menyaksikan saingan sengit kerana Barisan Nasional (BN) memperoleh 17 kerusi sementara PAS mendapat 15 daripada 32 kerusi DUN Terengganu pada PRU-13.
0 Komentar untuk "Pilihan Raya Kecil Kuala Besut Bakal Berlangsung Sengit - Anwar"