Oleh Sariha Mohd Ali
sariha@bharian.com.my
Halimahton (kiri) dan Sufiah. |
Ibu wanita genius harap sinar Ramadan buka hati anak kembali ke pangkuan keluarga
KUALA LUMPUR: "Saya bersyukur dia sudah insaf dan berharap sinar Ramadan kali ini akan membuka pintu hatinya untuk kembali ke pangkuan keluarga dan saya tetap menerimanya sama seperti Sufiah yang dulu," kata Halimahton Yusof - ibu wanita genius Matematik, Sufiah Yusof, 24.
Halimahton yang berasal dari Muar, Johor, berkata, Sufiah � anak ketiga daripada lima beradik, kini aktif menjalankan kerja amal di London, tetapi masih enggan bertemu keluarganya mungkin kerana rasa bersalah dan malu.
Sufiah yang dianugerah kepintaran semula jadi sehingga berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun, menggemparkan masyarakat apabila ditemui menawarkan khidmat seks melalui internet di Salford, Manchester.
Kisah kehidupan malang Sufiah itu disiarkan akhbar News Of The World pada 31 Mac tahun lalu. Bagaimanapun, Sufiah kini aktif menjalankan kerja amal dengan membantu kanak-kanak malang di London dan diberi perlindungan khas oleh Persatuan Masyarakat Melayu United Kingdom.
Halimahton berkata, beliau memahami apa yang dialami Sufiah dan yakin anaknya masih belum dapat melupakan trauma kehidupan yang dilaluinya.
"Kami sedia memberinya masa untuk bersendirian sebelum pulang ke pangkuan keluarga. Setiap manusia melakukan kesilapan dan kita wajar memberinya peluang untuk berubah. Biar apa pun yang diperkatakan orang mengenainya, dia tetap anak yang saya dan namanya sentiasa disebut dalam doa setiap kali selepas solat.
SUFIAH ke Universiti Oxford ketika berusia 13 tahun. |
"Saya tahu, Sufiah akan kembali dan kami bersabar menunggu detik bahagia itu. Paling penting, saya gembira dan bersyukur kerana Sufiah sudah bertaubat. Mungkin Ramadan dan Aidilfitri kali ini bakal memberi sinar baru dalam keluarga kami," katanya dalam pertemuan dengan Berita Harian, petang kelmarin.
Ini adalah pertemuan pertama Halimahton dengan wartawan sejak kembali ke tanah air, bulan lalu, selepas 34 tahun menetap di London.
Halimahton yang sudah bercerai dengan suaminya, Farooq Yusuf, kini tinggal di Damansara bersama anaknya, Iskander Ibrahim Farooq Yusuf, 23, dan Sabrina Zuleikha, 15.
Sebagai ibu, Halimahton mengakui perasaannya membuak untuk bertemu Sufiah sejak berpisah pada 2005, tetapi undang-undang di United Kingdom (UK) menghalangnya berbuat demikian.
"Di UK, jika seorang yang sudah dewasa menyatakan enggan bertemu seseorang, kita tidak boleh melanggar arahan itu dan saya sebagai ibu, menghormati permintaan Sufiah yang mungkin dibuat kerana tertekan atau malu untuk bertemu kami," katanya.
Halimahton berharap kejadian yang menimpa keluarganya menjadi pengajaran kepada masyarakat supaya kejadian sama tidak berulang kerana dugaan itu terlalu berat dan memerlukan kekuatan mental dan fizikal untuk menempuhinya.
"Tidak perlu saya menangis atau berputus asa atas apa yang berlaku, sebaliknya saya perlu tabah melalui dugaan berat ini. Sebenarnya, apa saja boleh berlaku tetapi sebagai orang Islam, kita perlu bijak dan tenang menghadapinya.
"Bagi saya, antara sebab yang menekan Sufiah hingga dia jadi begitu adalah akibat tekanan yang diberikan terhadapnya untuk muncul sebagai pelajar cemerlang dan dikenali dunia," katanya.
Sementara itu, Iskander Ibrahim berkata, beliau memahami tekanan yang dialami kakaknya kerana perkara sama turut dirasainya.
"Saya memasuki Universiti Warwick bagi mengikuti pengajian Sarjana Matematik ketika berusia 12 tahun dan berasa tertekan kerana pada usia muda, perlu bergaul dengan penuntut dewasa. Pada masa sama, tumpuan media menyebabkan saya perlu lulus cemerlang dalam peperiksaan," katanya.
Atas sebab itu, katanya, keluarganya tidak akan menekan dan memaksa Sabrina Zuleikha memasuki universiti pada usia muda.
"Dia turut ditawarkan ke universiti pada usia 13 tahun, tetapi ibu lebih suka jika dia melalui kehidupan normal seperti remaja lain terlebih dulu. Memang ibu tidak memaksa tetapi adik saya sendiri sudah melihat apa yang kami lalui sebelum ini.
"Sebab itu, dia hanya akan memasuki universiti pilihannya khasnya di Amerika Syarikat ketika berusia sekurang-kurangnya 17 tahun," katanya.
0 Komentar untuk "Pulanglah Sufiah"