KUALA LUMPUR - Selangor kekal menerajui carta persaingan bola sepak Liga Super dengan mengekang Perlis tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar manakala Kelantan kian merapati kedua-dua pasukan teratas itu, malam tadi.
Mengumpul 48 mata daripada 21 perlawanan, Gergasi Merah yang juga juara Piala FA dan Piala Sultan Ahmad Shah musim ini, masih teratas untuk meninggalkan Singa Utara hanya dengan kelebihan dua mata.
Sayap kiri kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin mengukir hatrik minit ke-34, 51 dan 74 untuk Kelantan membelasah negeri kelahirannya, Perak 4-0 di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu di samping satu gol Nor Farhan Muhammad (m-69).
Namun Wira Merah bimbingan Peter Butler, kini memungut 40 mata daripada 13 kemenangan dan seri sekali selepas mengharungi 21 perlawanan, masih kekurangan enam mata berbanding Perlis.
Kedah yang masih dihantui igauan kalah teruk di Hanoi pada aksi Piala AFC, bagaimanapun mengikat tuan rumah KL PLUS tanpa jaringan pada perlawanan yang dicemari sedikit pergaduhan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Terengganu pula meneruskan kemarau kemenangan liga buat Polis Diraja Malaysia apabila menundukkan tuan rumah 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban dengan dua jaringan Ashaari Samsudin, Manaf Mamat dan Azlan Ismail.
Johor FC turut memintas Negeri Sembilan yang sebelum ini di tangga kelima liga setelah tuan rumah bimbingan Ramlan Rashid membenam anak buah Wan Jamak Wan Hassan itu, tiga gol tanpa balas di Stadium JCorp, Pasir Gudang.
UPB-MyTeam pula tidak terjejas dengan kemelut kewangan kelab hingga tidak akan menyertai Piala Malaysia musim ini, apabila menumpaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Petaling Jaya menerusi gol Stanley Bernard dan Norshahrul Idlan Talaha.
Perlis, Selangor sekadar seri
Oleh Hussain Said, Rizar Mohd Noor, Kamudin Baharom, Bashah Zainol Abidin dan Fazlina Abd Rahim
bhsukan@bharian.com.my
PEMAIN Selangor Hardi Jaafar (tengah) menghalang kemaraan pemain Perlis, Ahmad Fakri Sharani di Stadium Utama Kangar, malam tadi. |
Johor FC buat kejutan jinakkan anak buah Wan Jamak
PERTEMBUNGAN dua pasukan teratas Liga Super gagal mencetuskan impak dramatik kepada takdir perebutan takhta apabila Perlis dan Selangor sekadar seri 0-0 untuk mengekalkan kedua-dua pasukan itu pada kedudukan sama.
Tidak banyak ancaman bahaya yang dapat disaksikan dalam perlawanan di Stadium Utama, Kangar dengan tuan rumah yang memerlukan kemenangan untuk memintas Selangor di persada, terpaksa akur dengan keputusan itu.
Kelantan, di tempat ketiga pula meneruskan kebangkitan mereka sekembalinya ke gelanggang rahmat Stadium Sultan Mohamed IV apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut, menewaskan Perak 4-0 dibantu hatrik Indra Putra Mahayuddin.
Indra memulakan malam gemilang peribadinya dengan sepakan percuma pada minit ke-34 disusuli gol keduanya yang berpunca daripada lorongan cantik Md Nor Farhan dari kiri yang disudahi dengan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Perak, Kamarul Effandi.
Indra melengkapkan hatrik pada minit ke-74 dan Md Nor Farhan meletakkan namanya pada senarai penjaring enam minit kemudian.
Di Stadium Tuanku Abd Rahman, Paroi, Terengganu meraih kemenangan 4-1 ke atas Polis untuk menghadiahkan kelab tercorot itu kekalahan ke-18.
Di Stadium Cheras, KL Plus menjejaskan kemaraan Kedah selepas permulaan lembab awal musim apabila mengikat mereka tanpa jaringan manakala di Stadium JCorp, Johor FC meraih kejayaan 3-0 ke atas Negeri Sembilan.
Di Stadium Darulaman, Kuala Muda Naza menang 4-1 ke atas Pahang manakala MyTeam meraih kemenangan 2-1 ke atas Pulau Pinang di Stadium MBPJ.
0 Komentar untuk "KEPUTUSAN LIGA SUPER AHAD 28 JUN 2009 : Selangor kukuh, Kelantan mengejar"