SHAH ALAM - Selangor yang masih segar dengan kejayaan menjulang trofi Piala FA minggu lalu meneruskan rentak kemenangan apabila menundukkan Terengganu 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, semalam.
Kemenangan itu membolehkan Selangor menghampiri pendahulu liga, Perlis dengan dipisahkan satu mata sahaja ketika ini.
Selain itu, Selangor turut melunaskan dendam Red Giants yang kalah 1-2 kepada Terengganu pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu 31 Mac lalu.
Trofi Piala FA yang dijulang minggu lalu selepas menewaskan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti ternyata menyuntik semangat anak buah K. Devan yang membuka jaringan menerusi Rudie Ramli (m-14).
Dua lagi gol tuan rumah dijaringkan Safee Sali (m-38, 82). Terengganu pula memperoleh gol saguhati menerusi Mohd. Shahrul Azrain (m-81).
Perlis masih mempertahankan kedudukan mereka di puncak liga walaupun sekadar seri tanpa jaringan di Stadium Utama Negeri, Kangar.
Namun pasukan itu yang kini mengumpul 29 mata makin cemas dihambat Selangor yang mengumpul 28 mata.
Negeri Sembilan pula melonjak dua anak tangga ke tempat ketiga liga selepas membenam Kelantan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Dengan memintas Kedah dan Kelantan, Negeri Sembilan kini mengumpul 27 mata, dua mata mengatasi kedua-dua pasukan itu.
Kedua-dua gol Negeri Sembilan, semalam disumbang Mohd. Shukor Adan pada minit ke-11 dan 83.
Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah tewas mengejut 0-1 di tangan Pulau Pinang hasil jaringan tunggal S. Thinagaran pada minit ke-73.
Satu lagi perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, UPB-MyTeam menewaskan pasukan tuan rumah, KL Plus juga dengan jaringan 1-0.
Selangor rampas persada Liga Super
Oleh Hussein Said, Kamudin Baharom dan Azizan Hashim
bhsukan@bharian.com.my
PEMAIN Negeri Sembilan, Mohd Affandy Adimel menghalang penyerang Kelantan, Muhd Khalid Jamlus (kanan) pada pertemuan Liga Super di Paroi, malam tadi. |
Perlis kongsi 28 mata selepas seri tanpa jaringan, perbezaan gol jadi pemisah
SELANGOR merampas kedudukan teratas Liga Super apabila menundukkan Terengganu 3-1 malam tadi selepas mengambil kesempatan daripada pendahulu sebelum ini, Perlis yang sekadar seri tanpa jaringan dengan KM Naza.
Di Stadium Shah Alam, Rudie Ramli meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-14 sebelum Mohd Safee Sali melebarkan penguasaan pada minit ke-38, apabila dia merembat dari jarak 30 meter menewaskan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbini Alawi.
Babak kedua menyaksikan Terengganu bangkit sebelum berhasil merapatkan kedudukan pada minit ke-81 menerusi jaringan Abdul Manaf Mamat namun Safee memastikan kemenangan tuan rumah, apabila menjaringkan gol keduanya pada minit ke-82.
Selangor kini mengumpulkan 28 mata, sama dengan Perlis tapi dibezakan dengan perbezaan jaringan.
Di Stadium Utama, Kangar, Perlis mempersiakan peluang bermain di gelanggang sendiri apabila gagal menjaringkan gol walaupun KM Naza terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Mohd Syahman Zainuddin dibuang pada pada minit ke-63.
Perlis terlepas dua peluang keemasan pada babak pertama menerusi percubaan Mohd Fauzi Nan dan Nizaruddin Yusof tetapi dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol KM Naza, Azizon Kadir
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan menebus kehampaan kecewa di tangan Kelantan pada saingan separuh akhir Piala FA, apabila menundukkan pasukan pelawat 2-0.
Shukor Adan memastikan malam gemilang buatnya apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-11 dan 83, menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd Shahrizan Ismail.
Di Stadium Perak, Pulau Pinang nyata lebih bertuah apabila memanfaatkan ketiadaan tiga tonggak Perak untuk membolehkan mereka mencuri tiga mata, hasil jaringan S Thinagaren pada minit ke- 2, manakala di Stadium Cheras, jaringan tunggal Bunyamin Umar pada minit ke-18, cukup buat UPB-MyTeam meraih kemenangan mengatasi KL Plus.
0 Komentar untuk "SUKAN : AHAD 03 MEI 2009"