JOHOR BAHRU – Rekod tanpa kalah Johor musim ini lebur dengan kekalahan 2-4 kepada Harimau Muda pada perlawanan dua pasukan teratas Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di sini, semalam.
Bagaimanapun, pasukan bimbingan Nasir Yusof itu masih kekal di puncak liga menerusi kelebihan jumlah jaringan, namun Harimau Muda di tangga kedua yang turut mengumpul 25 mata sama masih bermain kurang satu perlawanan .
Benteng pertahanan skuad Jengking lebih dahulu dihukum pada minit ke-24 apabila Ahmad Shakir Mohd. Ali dengan mudah merembat masuk bola muntah dari dakapan penjaga gol Johor, Norazlan Razali.
Harimau Muda terus menguasai permainan dengan menambah jaringan pada minit ke-41 melalui rembatan jarak dekat pemain berusia 17 tahun, Gary Steven Robbat.
Gary terus menambah duka Johor apabila sekali lagi berjaya merobek gawang tuan rumah pada minit ke-43 melalui rembatan kencang dari dalam kotak penalti.
Separuh masa kedua, Johor bermula garang dan berjaya memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-52 menerusi sepakan percuma Norizam Salaman dari luar kotak penalti.
Namun, Ahmad Shakir sekali lagi menghukum benteng pertahanan tuan rumah apabila menjaringkan gol keempat dua minit selepas itu.
Walaupun ketinggalan tiga gol, Johor tidak berputus asa dan berjaya menambah jaringan menerusi sepakan penalti Azrine Affendy Sa'duddin(m-82).
T. Team pula terus mengekori rapat di tangga ketiga liga selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Proton FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.
Mohd. Harris Safwan Kamal melakukan hatrik dengan menjaringkan ketiga-tiga gol T. Team pada minit ke-28, 36 dan 75.
------------------------------------------------------------------------------------
Johor kekal terajui takhta Liga Perdana
Oleh M Hifzuddin Ikhsan, Rizar Mohd Nor dan Hamid Salleh
bhsukan@bharian.com.my
PEMAIN Felda United, Mohd Rizal Ahmad (depan) cuba melepasi kawalan pemain Shahzan Muda, Kumar Ratenan Silva dalam saingan Liga Perdana di Stadium Kuala Lumpur, malam tadi. Felda United menang 3-1. |
HARIMAU Muda terus menghambat Johor bagi kedudukan tangga teratas apabila menewaskan pendahulu liga itu 4-2 pada saingan Liga Perdana di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi untuk terikat 25 mata di tangga teratas dengan lawan itu dan hanya dipisahkan di atas perbezaan jaringan.
Skuad T-Team turut mengekori rapat Harimau Muda dan Johor FC di saingan kelompok teratas liga apabila berjaya membelasah Proton 3-0 di Stadium Sultan Mizan.
Di Stadium Larkin, serangan pertama perlawanan dijelmakan tuan rumah yang memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti seawal minit kedua, namun sepakan lencong kapten Mohd Khairul Ismail sempat dikuis keluar penjaga gol, Muhd Zamir Selamat.
Apapun, pelawat yang beraksi tanpa empat tonggak utama masih mampu mengimbangi kekuatan Johor apabila mula menguasai tengah dan berjaya mendahului menerusi jaringan Ahmad Shakib Ali pada minit ke-24.
Ketika aksi menghampiri penghujung babak pertama, Harimau Muda membuat kejutan menerusi dua lagi gol hasil jaringan pemain berusia 17 tahun, Gary Steven Robbat (m-41 dan 43) untuk membolehkan pelawat selesa mendahului tuan rumah 3-0 pada babak pertama.
Pasukan bimbingan K Rajagobal kemudian mengesahkan kemenangan pada babak kedua menerusi jaringan Ahmad Shakir (m-54) meskipun Johor berjaya merapatkan jurang menerusi Norizam Salman (m-52) dan Azrine Affendy Sa’dudin (m-81).
Di Stadium Sultan Mizan, jaringan hatrik Haris Safwan Kamal pada minit ke-28,36 dan 75 (penalti) membolehkan T-Team terus menghidupkan peluang ke Liga Super, musim depan dan kekal di tangga ketiga liga dengan 21 mata.
Di Stadium Selayang, Kuala Lumpur yang dibimbing Razip Ismail melonjak ke tangga keempat liga apabila berjaya mengatasi tuan rumah, Tentera 3-1, sementara Felda United turut mencatat kemenangan dengan menewaskan Shahzan Muda 3-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Di Stadium Sarawak, tuan rumah hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 dengan seteru utama, Sabah dan keputusan itu memaksa kedua-dua pasukan kekal di kelompok empat pasukan tangga terbawah liga, manakala pertemuan PKNS-SDM Kepala Batas di Stadium Petaling Jaya turut berakhir dengan seri 0-0.
0 Komentar untuk "SUKAN : SELASA 05 MEI 2009"