Zahid Yakin Keserasian Pimpinan Umno-PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Zahid Yakin Keserasian Pimpinan Umno-PAS

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan keyakinan bahawa sudah wujud keserasian dalam pemimpin Umno dan PAS, namun masih terlalu awal untuk menyatakan kerjasama kedua-dua parti itu secara formal.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata usahasama dan perpaduan kedua-dua parti itu sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang menggalakkan dan ikatan tahaluf siyasi boleh terjalin andainya ada persefahaman yang termeterai.

"Pada masa ini seperti mana yang saya pernah nyatakan dalam media massa yang lalu bahawa terlalu awal untuk saya mengatakan bahawa kerjasama ini dibuat secara formal melalui pendekatan ikatan politik secara berorganisasi.

"Saya melahirkan keyakinan bahawa ada keserasian sudah wujud dalam pemimpin Umno dan PAS walaupun ada kedengaran suara-suara yang menolak daripada PAS," katanya dalam kenyataan di sini, Sabtu malam.

Katanya Umno mengamalkan sikap terbuka, namun parti itu perlu mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) dan menilai unsur kerjasama dari sudut penerimaan parti-parti komponen BN.

Ahmad Zahid turut menafikan beliau mengeluarkan kenyataan kononnya Majlis Syura Ulama PAS mahu supaya setiap anggota parti PAS akur dengan kerjasama Umno dan PAS.

"Seperti mana kenyataan awal saya menyatakan bahawa belum ada lagi sebarang kerjasama formal dibentuk antara UMNO dan PAS termasuklah sebarang surat rasmi daripada Umno berhubung kerjasama dengan parti PAS.

"Moga sebarang kekhilafan dalam laporan berita Sinar Harian bertarikh 26 Disember 2015 (Sabtu) ditafsirkan semula secara berhemah dalam memperbetulkan persepsi pembaca mengenai kerjasama Umno-PAS, katanya.

Malah Ahmad Zahid berkata melalui temu bual dengan akhbar Mingguan Malaysia yang disiarkan pada 20 Disember lepas, beliau secara jelas juga menyatakan bahawa parti PAS mempunyai sistem syura yang kuat, maka suara-suara yang tidak setuju ini akan bersetuju pada akhirnya.

"Secara prinsipnya, marilah kita berpegang kepada firman Allah SWT dalam surah Al-I’Imran ayat 103 yang jelas membawa maksud supaya kita berpegang kepada tali Allah supaya tidak berpecah-belah," katanya. -  BERNAMA

0 Komentar untuk "Zahid Yakin Keserasian Pimpinan Umno-PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI