Agenda Perpaduan Umno-PAS Perkembangan Positif Selesai Isu Umat Islam - Ibrahim Ali - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Agenda Perpaduan Umno-PAS Perkembangan Positif Selesai Isu Umat Islam - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Agenda perpaduan antara Umno dan PAS dilihat sebagai satu perkembangan positif ke arah menyelesaikan isu-isu semasa yang melanda umat Islam di negara ini, kata Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, sudah tiba masanya pemimpin kedua-dua parti itu berbincang dalam platform sama ke arah mencari penyelesaian isu-isu berkaitan umat Islam termasuk penghinaan agama Islam serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

"Silaturrahim sesama umat Islam adalah wajib yang merupakan tuntutan agama, saya percaya ini satu perkembangan yang baik sekiranya penyatuan PAS dan Umno menjadi kenyataan," katanya yang ditemui media ketika menghadiri Persidangan Khas Tahunan Kedua 2015 Wira Perkasa Malaysia di sini, Sabtu.

Persidangan itu dirasmikan Naib Presiden Perkasa, Syed Osman Syed Mansor, dan diadakan serentak dengan Persidangan Wiranita dan Wirawati Perkasa di lokasi berasingan pada Sabtu.

Ibrahim berkata, hasrat penyatuan Umno dan PAS pernah disuarakan Perkasa menerusi cadangan penubuhan Majlis Ukhuwah Islamiah Negara (MUIN).

MUIN membolehkan Umno dan PAS bekerjasama mencari penyelesaian berhubung isu yang menyentuh kedaulatan Islam dan institusi raja di negara ini, katanya.

Namun, katanya kerjasama itu tidak akan berlaku dalam konteks politik memandangkan kedua-dua parti itu mempunyai perjuangan politik berbeza.

"Perjuangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini tidak akan mampu mendapat sokongan Umno memandangkan tulang belakang Barisan Nasional (BN) itu perlu menjaga hati parti komponen lain," katanya.

Dalam pada itu, para perwakilan Persidangan Khas Tahunan Kali Kedua 2015 Wira Perkasa Malaysia meluluskan tiga usul iaitu menuntut kerajaan menyemak semula Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), menyeru kerajaan mencari penyelesaian atas masalah peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat, dan mendesak kerajaan mengambil tindakan ke atas kumpulan bekas penjawat awam G25.

Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata ketiga-tiga usul itu akan dibawa ke peringkat pusat pada Persidangan Agung Tahunan Perkasa 2015 pada Ahad untuk dibahaskan. - Bernama

0 Komentar untuk "Agenda Perpaduan Umno-PAS Perkembangan Positif Selesai Isu Umat Islam - Ibrahim Ali"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI