Sudah sampai masa orang Islam tidak setuju hudud bersuara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Sudah sampai masa orang Islam tidak setuju hudud bersuara


Amin Iskandar (gambar)

Laporan berita yang menyatakan kerajaan negeri Kelantan mahu memenjarakan lelaki Islam tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak 3 kali dan dikenakan denda sebanyak RM1,000 merupakan berita baik buat rakyat Malaysia.

Sekurang-kurangnya, rakyat Malaysia sudah boleh mengagak atau membayangkan masa depan negara ini jika PAS berpeluang mentadbir Malaysia satu hari nanti.

"Negara Islam" yang dibawa PAS segala-galanya tentang hukuman. Sekurang-kurangnya inilah yang dibuktikan di negeri yang diperintah PAS secara total seperti Kelantan.

Hukuman keras ini didedahkan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang Wan Ubaidah Omar yang bertanyakan tentang apakah hukuman kepada individu meninggalkan solat Jumaat di Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.

Lihatlah jenis soalan yang ditanyakan seorang Adun PAS yang dipilih rakyat semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, semuanya tentang hukuman sedangkan semasa kempen PRU13 PAS masih menjanjikan Negara Berkebajikan.

Selepas PRU13, sejak Kelantan ditadbir Datuk Ahmad Yakob yang menggantikan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, tiada apa yang kita dengar daripada kerajaan negeri selain daripada mahu melaksanakan hukum hudud. (ini fitnah yang sangat jahat sedangkan analisis audit menunjukkan peningkatan aktiviti)

Tidak kedengaran program ke arah Negara Berkebajikan seperti dijanjikan semasa PRU13, yang disibukkan adalah bagaimana mahu menghukum umat Islam.

Mungkin Ahmad dan barisan exco Kelantan tidak mempunyai kemahiran lain selain memikirkan bagaimana menjatuhkan hukuman terhadap umat Islam yang tidak alim atau tidak begitu alim.

Mungkin Ahmad bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud kerana senario yang berlaku di negara kita hari ini.

Di Malaysia umat Islam paling mudah untuk dijadikan "mangsa" atau "punching bag" dalam hal-hal yang dikatakan berkaitan dengan agama. Tiada siapa yang berani mempersoalkan kerana takut dituduh "kafir".

Umno yang satu ketika dulu mengamalkan kesederhanaan juga sudah berubah kerana merasakan jika mereka turut "menjual" Islam, mereka mungkin akan terus kekal berkuasa sehingga dunia ini kiamat.

Apatah lagi di kala Umno dipimpin orang yang lemah seperti Datuk Seri Najib Razak, bersarang "ustaz-ustaz konservatif" pulang dari Timur Tengah di dalam pentadbirannya sehingga tidak ternampak imej moderat yang mahu dikaitkan dengannya.

Langsung tidak kelihatan pendirian presiden Umno itu dalam hal-hal berkaitan dengan hudud. Setuju atau tidak setuju, tiada apa yang jelas. Semuanya di awang-awangan.

Sekurang-kurangnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Umno dulu, beliau tegas menolak hudud kerana merasakan ia tidak sesuai dengan negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Selepas Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga sejak hari pertama menjadi perdana menteri jelas beliau membawa garis Islam sederhana di negara ini.

Pada zaman Najib, tiada apa yang jelas, di kala beliau melaungkan slogan 1Malaysia, kumpulan berhaluan kanan Melayu dan Islam terus bermaharajalela.

Lebih malang lagi apabila parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) seperti PKR dan DAP begitu takut sekali untuk bersuara bagi pihak umat Islam yang tidak bersetuju dengan hudud dibawa PAS.

Menyakitkan hati sungguh apabila terdapat pemimpin daripada DAP, sebuah parti yang bertegas mengatakan Malaysia sebuah negara sekular mempertahankan PAS dengan mengatakan hudud hanya dikenakan kepada orang Islam dan masyarakat bukan Islam tidak perlu takut.

Bagaimana dengan nasib orang Islam yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud?

Apakah DAP mahu Malaysia menjadi sekular hanya untuk bukan Islam?

PKR pula langsung tidak mahu masuk campur dengan perdebatan seperti ini kerana mungkin akan merugikan politik mereka.

Sudah sampai masanya umat Islam yang tidak bersetuju dengan hudud bersuara.

Jangan harapkan ahli politik kerana sifir mereka hanya untuk mendapatkan undi.

Apa saja yang boleh mengurangkan undi sudah tentu tidak akan dilakukan.

Tidak mengapa dituduh kafir kerana yang menuduh anda kafir itu bukanlah Tuhan.

Mereka juga manusia biasa. Cuma bezanya, mereka mahu menjadi Tuhan! – 19 Oktober, 2014.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

http://www.themalaysianinsider.com/opinion/amin-iskandar/article/sudah-sampai-masa-orang-islam-tidak-setuju-hudud-bersuara"

0 Komentar untuk "Sudah sampai masa orang Islam tidak setuju hudud bersuara"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI