SELASA depan akan ada Menteri Besar Selangor yang baru. Jika calon yang bertuah itu bukan Presiden PKR Wan Azizah Wan Ismail, ini bermakna ada antara 29 Adun yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong beliau telah bersedia dengan SD kedua yang membatalkan SD pertama, seperti yang dilakukan oleh mendiang P Balasubramaniam.

29 Adun ini terdiri daripada 12 Adun PKR, 15 Adun DAP dan 2 Adun Pas. Susah dibayangkan Adun DAP dan dua Adun Pas tidak tidak bersatu, maka kemungkinan yang ada ialah mereka yang sanggup membatalkan SD pertama hanya akan datang daripada PKR.

Jika ini berlaku, maka betullah apa yang dihujahkan selama ini bahawa 30 SD di tangan Wan Azizah sebenarnya masih tidak cukup untuk menyakinkan pihak istana bahawa beliau mempunyai majoriti di Dun Selangor.

Ini kerana sokongan 30 Adun ini kepada Wan Azizah boleh berubah bila-bila masa dengan ada Adun yang sudi membuat SD kedua.


DAP jadi penentu

Sama ada krisis MB Selangor ini berterusan atau tidak selepas Selasa depan bergantung pada keputusan DAP. PKR barangkali akan bertembung dengan istana jika sesiapa saja selain Wan Azizah dilantik menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, termasuklah Azmin Ali.

Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat menerima Azmin sebagai pengganti Khalid dari awal lagi, sebenarnya kemelut MB Selangor sudah lama selesai. Malangnya, beliau tetap bertegas hanya isteri beliau sahaja layak menduduki kerusi MB Selangor.

Oleh itu, keputusan DAP pada Selasa ini akan menjadi penentu kepada hayat krisis MB Selangor. Jika DAP akur dengan keputusan Sultan Selangor mengenai calon Menteri Besar yang baru, maka krisis ini akan selesai. Tanpa sokongan DAP, PKR tidak mungkin dapat bertahan sendiri untuk bertembung dengan istana.

Keputusan DAP itu juga dapat memaksa PKR dan juga Anwar untuk akhirnya akur dengan keputusan Sultan Selangor.

Jika DAP memilih untuk melawan, maka PKR juga akan pilih untuk melawan. Jika begitu, maka bersedialah untuk pusingan kedua pertukaran MB Selangor di bulan November ini apabila undi tidak percaya terhadap MB baru akan dilakukan.

Susah dibayangkan berapa dalamnya sentimen ‘derhaka’ itu akan terletak pada sanubari rakyat dalam persepsi mereka terhadap PKR dan DAP jika perkara tersebut berlaku.

Mereka tidak mengharapkan Pas untuk turut sama berlawan dengan istana kerana Pas tidak mahu mengambil risiko dilabel sebagai derhaka, yang label terlampau berat dipikul untuk parti yang memerlukan sokongan rakyat pedalaman.

Sultan Selangor akan memilih salah seorang daripada Adun berbangsa Melayu beragama Islam daripada anggota Pakatan Rakyat untuk menjadi MB Selangor.

Kalau DAP mengambil sikap untuk menamatkan kemelut ini dengan akur dengan keputusan Sultan Selangor, maka secara automatiknya, PKR juga akan turut serta menamatkan krisis ini yang telah berlarutan terlalu lama.

DAP perlu membuat keputusan sama ada untuk bersama kerajaan PR di bawah MB Selangor yang baru ini, atau membiarkan kerajaan ini hidup dengan sokongan Umno sekurang-kurangnya sehinggalah bulan November nanti.

DAP yang bijak sudah pasti dapat menghidu kedatangan persimpangan yang sangat getir ini.

Tempoh dua bulan adalah terlalu panjang di dalam politik Malaysia –apa-apa sahaja boleh berlaku – yang atas boleh bertukar menjadi bawah, yang kalah boleh bertukar nasib menjadi menang dan yang marah hari ini boleh jadi terima hakikat pada hari besok.