KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat hari ini memberi sokongan penuh kepada usul khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan usaha kerajaan dalam menangani tragedi nahas MH17 yang ditembak jatuh dengan membawa mereka terlibat ke muka pengadilan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam insiden berdarah itu sambil menyifatkannya sebagai perbuatan jenayah kerana telah mengorbankan nyawa orang awam yang tidak bersalah.

"Pakatan Rakyat amat komited kepada apa-apa ketetapan kerajaan untuk mengutuk pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh pelaku.

"Saya menggesa siasatan yang telus dan terbuka dan tidak ada sekatan maklumat kepada awam demi mengelak sebarang spekulasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya ketika membahaskan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menggesa kerajaan Malaysia memastikan bahawa tiada pihak dibenarkan menceroboh kawasan siasatan kerana dikhuatiri akan mencemari lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Anwar juga memuji tindakan kerajaan dalam rundingan dengan Ketua Republik Rakyat Donetsk, Alexander Borodai bagi mendapatkan kotak hitam bagi melancarkan siasatan ke atas nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu.

"Satu tindakan undang-undang yang telus diperlukan bagi memastikan keadilan diperolehi bagi setiap mangsa dan tiada lagi nyawa terkorban di masa hadapan," katanya.

Sementara itu, katanya ruang keadilan menerusi International Criminal Court (ICC) perlu diterokai sekiranya terbukti sesetengah individu yang didapati bersalah menembak jatuh MH17.

"Sekiranya terbukti sebuah negara yang bersalah, ICJ perlu digunakan.

"Dalam kejadian pesawat awam ditembak oleh kuasa ketenteraan sesebuah negara, ICJ selalunya digunakan," katanya lagi.