Menteri besar di bawah Perlembagaan Selangor - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Menteri besar di bawah Perlembagaan Selangor

Ada beberapa isu penting dalam soal pelantikan menteri besar di bawah Perlembagaan atau Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Sebelum itu perlu ditegaskan kedudukan dan prinsip berhubung jawatan itu sama dengan kedudukan di peringkat pusat, iaitu perdana menteri. Kedudukan di Selangor juga sama dengan menteri besar dan ketua menteri di negeri-negeri lain di Malaysia.

Dengan kata lain kuasa pelantikan Sultan Selangor sama dengan kuasa yang ada di tangan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja lain. Kuasa itu juga sama dengan kuasa yang ada di tangan Yang di-Pertua Negeri bagi negeri-negeri tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Bahkan kuasa pelantikan itu tidak berbeza dengan kuasa Ratu Elizabeth II di Britain atau gabenor-jeneral Australia atau presiden India atau Singapura. Semua sistem politik ini termasuk di bawah apa yang dikenali sebagai demokrasi berparlimen atau Westminster.

Di bawah sistem ini ketua kerajaan – iaitu perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri - dilantik oleh ketua negara atau negeri melalui apa yang dipanggil kuasa budi bicara. Ia berbeza dengan sistem demokrasi berpresiden seperti di Amerika Syarikat, Indonesia atau Filipina di mana kerajaan dipilih secara langsung oleh rakyat melalui pilihan raya presiden.
Perlu juga ditegaskan kuasa budi bicara di bawah perlembagaan tidak sama dengan kuasa budi bicara di bawah akta Parlimen atau enakmen negeri. Dalam konteks perlantikan di atas  - yang pada hakikatnya adalah pelantikan kerajaan – budi bicara bukan bermakna selera atau kehendak peribadi. Di sisi perlembagaan apa yang dilabel sebagai budi bicara ini sebenarnya tertakluk kepada sekatan tertentu yang umumnya berpaksikan semangat dan prinsip demokrasi.

Sebab itu apabila peranan istana Selangor dibesar-besarkan, khususnya oleh media milik Umno, ia menjadi ganjil kerana kita tahu di peringkat pusat dan negeri lain yang dikuasai Umno ia tidak begitu. Media Umno-BN perlu menjawab di mana Yang di-Pertuan Agong apabila Datuk Seri Najib Razak dirancang untuk menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2009?

Di mana Yang di-Pertua Negeri Sarawak apabila Tan Sri Adenan Satem diumumkan akan menggantikan Tan Sri Taib Mahmud beberapa bulan lalu? Terbaru, apakah Sultan Terengganu dimaklumkan tatkala Najib membuat keputusan untuk menyingkirkan Datuk Seri Ahmad Said daripada kerusi menteri besar?

Semua perubahan itu dilakukan dengan pantas, dengan istana hanya menjalankan fungsi formal semata-mata. Sebab itu Umno-BN tidak harus membuat bising kerana mereka juga perlu menukar pemain dari semasa ke semasa. Seperti yang ditegaskan di atas sistem dan kuasa dalam perlembagaan sama dan sebab itu apa yang berlaku di Selangor juga harus diizinkan berjalan tanpa gangguan. Lainlah kalau Selangor mengamalkan sistem berbeza.

Bagaimana dan siapa yang boleh dilantik oleh sultan sebagai menteri besar? Sebagaimana di pusat dan di negeri lain orang itu mestilah seorang ahli dewan yang disokong oleh majoriti ahli dewan. Dalam konteks menteri besar - di Selangor dan lapan negeri beraja lain - orang itu perlu Melayu dan beragama Islam.

Bagaimanapun syarat ini boleh diketepikan oleh sultan sekiranya ia perlu untuk memastikan calon itu mempunyai sokongan majoriti. Keharusan mengenepikan syarat Melayu dan Islam ini menunjukkan apa yang penting menteri besar itu mempunyai sokongan majoriti dalam dewan. Keharusan ini juga memberi isyarat orang bukan Melayu dan bukan Islam boleh dilantik menjadi menteri besar jika keadaan memerlukan.

Bagaimana sultan - atau Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri - hendak mengukur sokongan majoriti itu? Ini tidak disebut oleh perlembagaan. Di sisi undang-undang ia dianggap sebagai sesuatu yang subjektif. Meskipun begitu amalan di seluruh Komanwel ialah ketua negara/negeri berpandukan kepada keputusan parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak di dalam dewan.

Sebab itu di negara maju seperti Britain parti utama membentuk apa yang dipanggil parti di dalam parlimen yang diketuai tokoh yang dipilih kalangan ahli Parlimen parti berkenaan. Ini memudahkan baginda Ratu untuk terus melantik tokoh berkenaan sebagai perdana menteri.

Sekiranya berlaku keadaan di mana tidak ada parti yang membentuk majoriti seperti dalam Pilihan Raya Umum Britain 2010 yang lalu baginda akan memberi peluang kepada parti untuk bergabung dan menamakan seseorang sebagai perdana menteri. Dengan itu istana tidak memainkan peranan apa-apa dan terselamat daripada kontroversi.

Apa pun sesuatu yang penting dalam soal ini ialah membentuk kerajaan urusan rakyat. Peranan yang keterlaluan oleh istana boleh menimbulkan masalah kepada istana sendiri kerana kerajaan memerintah perlu dinilai atas prestasinya.

Sesebuah kerajaan yang tegak di atas sokongan istana akan menyeret istana ke dalam longkang sekiranya kerajaan berkenaan gagal memberi khidmat kepada rakyat. Kita perlu jelas kerajaan dalam sistem Westminster ialah kerajaan yang bertanggungjawab kepada dewan. Kerajaan di bawah sistem ini bertunjang kepada sokongan dalam dewan. Bukan bergantung kepada istana.

Konsep pertanggungjawaban ini yang menjadi sebab mengapa istana tidak harus masuk campur dalam pembentukan kerajaan. Inilah sebabnya mengapa Ratu tidak mengada-ngada dan cuba memainkan peranan dalam beberapa krisis politik di Britain. Konsep kerajaan bertanggungjawab - yang dituntut Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 43(3) - ini juga yang menjadi punca mengapa kuasa diberikan oleh DUN Johor kepada Sultan dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor dikritik hebat bulan lalu.

Konsep pertanggungjawaban ini sebenarnya lebih penting dan sentral dalam isu LPHJ daripada konsep raja berperlembagaan yang digembar-gemburkan banyak pihak.

Perlu disebut syarat jantina tidak disebut perlembagaan negeri, baik di Selangor atau negeri lain. Asalkan orang itu ahli dewan dan mempunyai sokongan majoriti di situ ia boleh dilantik sebagai menteri besar oleh sultan.

Perkembangan setakat ini menunjukkan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Adun Kajang, disepakati oleh PKR dan, kelihatannya DAP dan PAS sebagai calon menteri besar Selangor yang baharu.

Secara tidak langsung ini menunjukkan ketiga-tiga parti majoriti dalam DUN Selangor itu menarik sokongan mereka daripada menteri besar yang ada, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mungkin wajar bagi Khalid untuk meletakkan jawatan; sesuatu yang mewajibkan sultan melantik menteri besar baharu. Sultan bertanggungjawab untuk melantik menteri besar kerana ia adalah tonggak kerajaan.

Apabila seseorang menteri besar meletakkan jawatan secara automatik seluruh pentadbiran beliau, iaitu exco juga meletakkan jawatan sama ada suka atau tidak. Perlu disebut salah bagi istana Selangor untuk membiarkan negeri tanpa kerajaan selepas Menteri Besar Tan Sri Muhamad Muhd Taib meletakkan jawatan pada pertengahan 1997.

Baik di negeri maupun pusat kerajaan mesti dilantik secepat mungkin. Ini kerana Yang di-Pertuan Agong, sultan, Yang di-Pertua Negeri atau kakitangan awam tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada dewan. Hanya kerajaan yang memiliki mandat rakyat boleh dipertanggungjawabkan kepada dewan. Kita masih ingat betapa kelambatan Yang di-Pertuan Agong melantik kerajaan persekutuan selepas PRU 1999 menyebabkan berlakunya kekecohan di Parlimen.

Bagaimana jika Khalid enggan berundur? Kita menduga Pakatan Rakyat sebulat suara mahu beliau berundur dan dengan itu Adun mereka boleh mengemukakan undi tidak percaya kepada Khalid di dalam DUN. Sekiranya Khalid tewas maka beliau wajib meletakkan jawatan. Inilah yang berlaku kepada beberapa menteri besar seperti Datuk Harun Idris di Selangor pada 1975 dan kemudian Datuk Mohamed Nasir di Kelantan pada 1977. Kejatuhan Ketua Menteri Sarawak Datuk Stephen Kalong Ningkan di Sarawak pada 1966 juga boleh disebut meskipun insiden ini berakhir di mahkamah.

Mungkin ada yang membangkitkan soalan: mengapa istana boleh membuat gerak yang proaktif di beberapa negeri selepas PRU 2008, khususnya di Perak, Selangor, Terengganu dan Perlis? Kita akan halusi perkembangan ini dalam wacana seterusnya. – 24 Julai, 2014.

* Dr Abdul Aziz Bari adalah mantan profesor undang-undang UIAM yang kini mengajar di Fakulti Sains Sosial, Unisel.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mb-di-bawah-perlembagaan-selangor#sthash.CSUasIkg.dpuf
0 Komentar untuk "Menteri besar di bawah Perlembagaan Selangor"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI