MAS, AirAsia didenda RM10j - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

MAS, AirAsia didenda RM10j

MyCC dapati syarikat penerbangan cabuli Akta Persaingan 2010

Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) memutuskan mengenakan denda masing-masing sebanyak RM10 juta terhadap Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd di bawah Akta Persaingan 2010.

Keputusan itu dibuatnya selepas mendapati perjanjian pertukaran saham yang dimeterai kedua-dua syarikat penerbangan itu pada 9 Ogos 2011 mempunyai matlamat berkongsi pasaran penerbangan domestik, sekali gus melanggar Seksyen 4 (2) (b) akta berkenaan.
Urus niaga pertukaran saham itu bagaimanapun dibatalkan selepas lapan bulan berlangsung berikutan bantahan daripada pelbagai pihak atas pelbagai sebab, termasuk dakwaan ia menjurus kepada unsur monopoli yang akan menghalang pengguna daripada mempunyai pilihan.

Pengerusi MyCC, Tan Sri Siti Norma Yaakob dalam kenyataannya mengumumkan keputusan itu berkata, sepanjang pemeteraian pakatan itu, MyCC mendapati kedua-dua syarikat penerbangan itu jelas mencabuli Akta Persaingan dengan bertindak berkongsi pasaran penerbangan domestik.

“Perkongsian pasaran dianggap pencabulan yang serius di bawah akta itu kerana ia dianggap mempunyai tujuan mencegah dengan tahap ketara, menyekat atau mengganggu persaingan dalam apa-apa pasaran bagi barangan dan perkhidmatan.

“Apabila sesebuah syarikat bersetuju untuk berkongsi pasaran, mereka bersetuju untuk berhenti bersaing dengan mengambil kesempatan atas perbelanjaan pengguna,” katanya.

Tempoh 30 hari kemuka jawapan bertulis
Siti Norma menjelaskan, denda yang dikenakan ke atas kedua-dua syarikat penerbangan itu adalah berdasarkan pendapatan yang diperoleh mereka antara tempoh 1 Januari 2012 dan 30 April 2012 bagi laluan antara Kuala Lumpur-Kuching; Kuala Lumpur-Kota Kinabalu; Kuala Lumpur-Sandakan; dan laluan Kuala Lumpur-Sibu.

Jumlah denda itu bagaimanapun, katanya adalah kurang daripada 10 peratus pendapatan yang diperoleh MAS dan AirAsia daripada operasi seluruh dunia mereka antara Januari dan April 2012.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat penerbangan berkenaan diberikan tempoh 30 hari, bermula semalam untuk mengemukakan jawapan bertulis terhadap keputusan suruhanjaya itu.

Sementara itu, MAS dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam berkata, ia akan mengemukakan jawapan bertulis kepada MyCC berhubung keputusan berkenaan tidak lewat daripada 18 Oktober ini.

“MAS sedang mengkaji semula keputusan itu dengan mengadakan rundingan bersama peguam,” katanya.

AirAsia dalam kenyataannya pula menafikan bahawa ia melanggar akta berkenaan.

“AirAsia sentiasa meletakkan pematuhan sebagai keutamaan kami, dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan bahawa perkiraan kerjasama itu adalah sejajar dengan undang-undang dalam semua segi.

“Justeru, syarikat akan mengkaji semula perkara itu dengan peguam dan mengemukakan jawapan kepada MyCC dalam tempoh yang diberikan,” katanya.

MAS, AirAsia dan AirAsia X Sdn Bhd (AAX) pada 9 Ogos 2011 memeterai perjanjian kerjasama di bawah Rangka Kerja Kerjasama Komprehensif (CCF), dengan tujuan memfokuskan kepada kecekapan utama, menghasilkan produk yang lebih baik dan memberi pilihan kepada pengguna dan yang akhirnya menghasilkan nilai terbaik bagi semua pihak berkepentingan.

Pertukaran saham

Perjanjian itu turut membabitkan Khazanah Nasional Bhd dan Tune Air Sdn Bhd, iaitu syarikat induk kepada AirAsia memeterai perjanjian pertukaran saham, yang menyaksikan Tune Air menguasai 20.5 peratus saham MAS dan Khazanah Nasional pula memegang 10 peratus saham AirAsia.

Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa MAS akan menjadi syarikat perkhidmatan penerbangan penuh premium, AirAsia menjadi syarikat penerbangan kos rendah serantau, manakala AirAsia X pula sebagai syarikat penerbangan kos rendah jarak sederhana dan jauh.

0 Komentar untuk "MAS, AirAsia didenda RM10j"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI