Mukhriz tadbir Kedah dengan cara sendiri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Mukhriz tadbir Kedah dengan cara sendiri


ALOR SETAR - Apabila Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru pada 6 Mei lepas setelah Barisan Nasional (BN) memenangi semula Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13, rakyat menaruh harapan tinggi kepadanya untuk membawa banyak perubahan ke negeri ini.
 
Ini kerana beliau dilihat sebagai pemimpin baharu dalam kalangan pemimpin Umno dan BN di Kedah setelah pentadbiran kerajaan negeri beralih kepada Pas dan pakatan pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008.
 
Pemerhati politik melihat kegagalan pentadbiran parti pembangkang selepas PRU 2008 dan faktor Mukhriz sendiri sebagai faktor penting kemenangan BN pada PRU13 baru-baru ini.
 
Namun begitu, ramai juga yang meragui kemampuannya kerana bagi pihak berkenaan harapan kepada Mukhriz hanyalah bersandar faktor beliau adalah anak Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri keempat yang menerajui negara selama 22 tahun.
 
Kini setelah 100 hari menerajui pentadbiran negeri Kedah, Mukhriz secara perlahan-lahan dilihat cuba 'keluar daripada kepompong' Dr Mahathir yang selama ini membelenggu dirinya dan bergerak dengan cara beliau sendiri.
 
Biar pun begitu Mukhriz dilihat tidak mahu tergesa-gesa melakukan perubahan dalam pentadbiran kerajaan negeri malah cuba mengekalkan beberapa dasar kerajaan terdahulu yang bagi beliau adalah dasar yang baik dan patut diteruskan.
 
"Sebarang perubahan nak dibuat ambil sedikit masa untuk kaji situasi semasa sebelum buat sebarang perubahan sekiranya perlu," kata Mukhriz pada sidang media di sini sempena 100 hari pentadbiran beliau.
 
Beliau berkata kerajaan negeri akan memenuhi semua manifesto atau Aku Janji BN Kedah pada PRU13 lalu dengan setiap janji diagih-agihkan antara anggota Exco kerajaan negeri untuk dilaksanakan.
 
"Setiap seorang (Exco) ada senarai Aku Janji yang jadi KPI (Petunjuk Prestasi Utama) mereka. Ada boleh buat cepat dan ada perlu diperhalusi lagi supaya kita memahami apa kaedah kita boleh ambil untuk penuhi Aku Janji," katanya.
 
Dalam soal ekonomi negeri Kedah, beliau mengakui banyak yang perlu dipelajari memandangkan ini kali pertama beliau memegang jawatan di peringkat negeri.
 
"Bagaimanapun, sebagai orang baharu ada kelebihan juga kerana saya tidak dibelenggu dengan masalah terdahulu. Saya datang dengan kaca mata saya sendiri. Saya lihat hanya apa yang ada di persekitaran saya," kata Mukhriz yang sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
 
Beliau berkata satu daripada pendekatan yang diambil adalah membuat Makmal Transformasi Kedah bagi memikirkan kaedah untuk membangunkan Kedah supaya tidak ketinggalan berbanding negeri lain yang lebih maju ketika ini.
 
"Apa sektor yang mempunyai kelebihan sedia ada kepada Kedah seperti pertanian dan pelancongan. Kita juga hendak lihat bandaraya Alor Setar membangun lebih pesat. Jadi ini antara perkara kita sedang perhalusi. Kita akan lihat projek-projek yang boleh dilakukan dengan cepat dan tidak perlukan belanja
terlalu besar. Mana pula yang boleh dirancang untuk jangka masa sederhana dan panjang," katanya.
 
Mukhriz berkata kerajaan negeri Kedah di bawah pentadbiran beliau turut akan memberi penekanan kepada unsur keadilan sosial supaya segala projek yang dijalankan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Kedah.
 
"Kami tak mahu projek pembangunan hanya dimanfaatkan pihak tertentu sahaja. Unsur keadilan sosial ini akan diterapkan sebagai satu daripada prinsip dalam segala benda yang kita lakukan.
 
"Antaranya adalah aspek modal insan. Untuk laksanakan projek-projek kita sebaik mungkin nak lihat anak-anak Kedah sendiri yang ada kemahiran dan menepati permintaan yang dapat faedah daripada pembangunan ini. Yang sebaik mungkin nak lihat warga Kedah mempunyai tahap ilmu pengetahun untuk memenuhi kekosongan (bagi terlibat dengan projek pembangunan)," katanya.
 
Mukhriz berkata setelah beliau cuba mewujudkan hubungan yang baik dengan pihak pembangkang, beliau melihat cara itu diterima baik oleh kalangan penyokong Pas dan Umno sendiri.

"Sudah terlalu lama kita dibelenggu polemik politik sampai tahap memeahbelahkan masyarakat. Harap-harap pihak kerajaan dan pembangkang memainkan peranan masing-masing tetapi jangan sampai ke tahap menjejaskan kepentingan rakyat. Tidak ada masalah kita mempunyai hubungan seperti itu antara kerajaan dan pembangkang," katanya.
 
Mengenai dua isu besar yang melanda kerajaan negeri terdahulu iaitu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) dan pembalakan rakus, Mukhriz berkata tindakan segera telah diambil untuk menangani masalah itu.
 
"Daripada laporan audit forensik, banyak perkara melibatkan Kuin dan Insaniah Holdings yang perlu kita tangani dengan penuh bijaksana dan memakan masa. Ada pihak-pihak tertentu tak puas hati tetapi kita sentiasa fikirkan tentang masyarakat Kuin secara keseluruhan.
 
"Dalam soal pembalakan, kita tangani secepat mungkin. Amalan guna alasan nak buat ladang buah untuk membalak satu kawasan luas dengan kaedah 'cuci mangkuk' telah kita hentikan. Yang ada cuma pembalakan secara selektif. Cuma pilih dua, tiga pokok dalam satu ekar untuk dibalak. Dengan cara ini kita lindungi alam sekitar dan tak cemar bekalan air. Ini dilakukan sejak kita ambil alih (kerajaan negeri)," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk "Mukhriz tadbir Kedah dengan cara sendiri"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI