GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta kerajaan Malaysia agar tidak menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) jika 'Garisan Merah' yang dikemukakan tidak diterima negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS).
  
Presidennya S.M. Mohamed Idris berkata 'Garisan Merah' itu mencerminkan kebimbangan utama mengenai kesan negatif perjanjian TPP kepada rakyat memandangkan ia dimodelkan daripada templat Perjanjian Perdagangan Bebas AS (USFTA).
  
Katanya negara lain yang merunding USFTA sebelum ini menyedari bahawa ia tidak fleksibel dan mendesak 43 negara daripada 63 termasuk Malaysia menarik diri daripada rundingan itu selepas menyedari ia tidak memihak kepentingan negara mereka.
  
"Oleh itu, Malaysia tidak harus tandatangan TPP kerana kita mempunyai keraguan serius AS akan menerima 'Garisan Merah' (yang dikemukakan). Kita harus keluar dari rundingan perjanjian TPP memandangkan negara lain sebelum ini juga telah menarik diri," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
'Garisan Merah' itu dikemukakan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi memberi maklum balas pada 1 Ogos lalu oleh masyarakat sivil termasuk CAP dan Sahabat Alam Malaysia dan lain-lain pertubuhan alam sekitar, sosial, kesihatan dan organisasi buruh.
  
Antara yang terkandung dalam 'Garisan Merah' adalah perdagangan barangan, perkhidmatan, pelaburan, perkhidmatan kewangan, telekomunikasi, perolehan kerajaan, persaingan dan perusahaan milik kerajaan, hak harta intelektual, kesihatan awam, keselamatan makanan dan pelabelan serta produk halal.
  
Mohamed Idris mendakwa perjanjian TPP adalah usaha AS untuk menghalang kemaraan ekonomi baru Asia serta mengambil kesempatan dari negara dunia ketiga.
  
"Tiada apa-apa dokumen didedahkan kerajaan kepada umum termasuk laporan analisis kos-faedah perjanjian TPP. Kerajaan harus berikan sebab-sebab menarik serta kebaikan perjanjian TPP kepada rakyat," katanya.
  
Mohamed Idris berkata kerajaan harus memberikan contoh kebaikan yang akan diperoleh rakyat sekiranya menandatangani perjanjian TPP serta implikasinya kepada pertumbuhan negara.
  
"Kita (Malaysia) sudah ada beberapa perjanjian perdagangan bebas termasuk AFTA (Kawasan Perdagangan Bebas Asean). Malaysia maju dan mampu mencatat pertumbuhan ekonomi walaupun tidak tandatangan apa-apa perjanjian sebelum ini," katanya.
  
Perjanjian TPP, yang diketuai oleh AS, adalah suatu perjanjian multilateral yang sedang dirundingkan oleh 12 negara iaitu Australia, Brunei, Chile, Jepun, Kanada, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura dan Vietnam. - Bernama