KUALA LUMPUR - Gabungan NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Bantah TPPA hari ini mengulangi desakan kepada kerajaan supaya tidak meneruskan rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) selagi 10 tuntutan badan itu tidak dipenuhi dan diambil perhatian anggota Kabinet.

Pengerusinya, Mohd Nizam Mahshar menegaskan kerajaan perlu membentangkan laporan analisis kos manfaat perjanjian itu supaya dapat dibahaskan secara terbuka oleh rakyat dan pihak berkepentingan sebelum ia dilaksanakan kelak.

"Kajian kos manfaat, perbandingan impak hak asasi, perundangan, kesan alam sekitar dan impak sosial perlu diadakan dengan penglibatan pihak berkepentingan.

"Satu proses rundingan secara telus, perlu dilakukan kerajaan supaya semua pihak mempunyai hak sama rata dan boleh memberi pandangan terhadap perjanjian TPP," katanya sidang media badan itu di Kelab Equestrian Bukit Kiara, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Ir Hamim Samuri semalam yang mengatakan kerajaan tidak boleh mendedahkan laporan analisis kos-manfaat perjanjian TPP.

Ini kerana Malaysia terikat dengan persetujuan negara-negara lain yang tidak mahu laporan itu dihebahkan sebelum sebaran keputusan muktamad dicapai.

Katanya, hasil laporan itu mungkin diterima atau sebaliknya pada akhir rundingan yang membabitkan Australia, Brunei, Kanada, Chile, Mexico, New Zeland, Peru, Jepun, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam itu.

"Syor yang terkandung dalam laporan analisis ini mungkin diterima atau tidak. Sebab itu kita tidak boleh dedahkan kepada umum kerana ia bukan yang telah dipersetujui," katanya yang dilaporkan Bernama semalam.

Dalam pada itu, Bantah TPPA juga mendesak Miti membenarkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk mengkaji, meneliti dan menilai teks perjanjian itu bagi mengesahkan perjanjian TPP itu dirundingkan dengan mengambil kira kepentingan dan memihak kepada rakyat.

Berikut10 tuntutan Bantah TPPA:

1.    Kedaulatan negara dan ruang dasar negara anggota TPPA
2.    Penghapusan tarif dan halangan bukan tarif
3.    Perolehan kerajaan dan perusahaan milik negara atau Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC)
4.    Hak pekerja
5.    Bab alam sekitar
6.    Akses kepada ubat
7.    Kawalan modal dan dasar ekonomi
8.    Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS)
9.    Kesan ke atas kawalan tembakau dan kesihatan awam
10.  Akses kepada ilmu pengetahuan