SETIAP hukum disyariatkan kepada manusia bertujuan mendatangkan maslahah (kebaikan) dan menolak mafsadah (keburukan) sama ada pada agama, nyawa, keturunan akal, mahupun harta pada kehidupan mereka di dunia dan akhirat.
Bertepatan kedudukannya sebagai agama yang membawa rahmat ke seluruh alam, Islam tidak membiarkan manusia teraba-raba dalam mencari sesuatu yang mendatangkan kebaikan kepada mereka tanpa sebarang petunjuk dan panduan.
Allah SWT menurunkan pelbagai perintah dan larangan untuk menjaga maslahah. Antaranya tuntutan memilih makanan yang menepati konsep halal dan baik atau ‘halalan tayyiban’.
Banyak dalil daripada al-Quran dan hadis menganjurkan manusia memilih yang halal dan baik. Antaranya firman Allah SWT melalui surah Al-Baqarah, ayat 168 yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata”.
Antara hikmah memakan makanan yang halalan tayyiban ialah:
Pertama, ia boleh memberikan ketenteraman kepada jiwa kerana sesuai dengan fitrah manusia. Makanan yang haram dan syubhah pada kebiasaannya menjadikan jiwa tidak tenteram, resah dan gelisah kerana bertentangan dengan fitrah.
Kedua, individu yang mengutamakan pengambilan makanan halalan tayyiban berupaya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ibadat dan amal soleh yang dikerjakannya pula diterima dan doa yang dipanjatkan dimakbulkan.
Ketiga, makanan halalan tayyiban turut berperanan menyelamatkan seseorang daripada seksaan api neraka. Ia bertepatan sabda nabi SAW yang bermaksud: “Tidak tumbuh daging daripada yang haram, melainkan api neraka lebih utama baginya”. (Riwayat al-Termidhi).
Keempat, pengambilan makanan halalan tayyiban dapat membentuk darah daging yang baik dan dapat membantu melahirkan insan yang mempunyai sahsiah yang terpuji.
Akhir sekali, makanan berstatus halal tayyiba dapat membantu menghindarkan daripada pelbagai penyakit.
Secara asasnya, makanan yang halal dan baik berperanan secara langsung dan tidak langsung dalam menjaga ‘daruriyyat al-khams’ atau lima perkara yang asasi iaitu agama, nyawa, keturunan, akal dan harta.
Lima hikmah disenaraikan pula menjelaskan secara langsung peranan dimainkan makanan halalan tayyiban dalam menjaga agama dan nyawa. Dari sudut penjagaan agama, seseorang yang mengambil makanan halalan tayyiban bermakna dia tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Kesan ketundukan itu, Allah SWT kurniakan kepadanya rahmat dan kebaikan di dunia dan akhirat seperti hati yang tenang, memiliki sahsiah yang terpuji, doa yang dimakbulkan dan bebas dagingnya daripada menjadi bakaran api neraka.
Dari sudut penjagaan nyawa pula, makanan halalan tayyiban membantu seseorang membesar dengan baik dan sihat. Di samping itu, ia membantu memelihara individu dan masyarakat daripada pelbagai penyakit.
Sumber makanan yang najis dan kotor serta kaedah pemprosesan serta penyimpanan yang tidak mengambil berat soal kebersihan, kebiasaannya boleh memudaratkan pengguna dan menyebabkan pelbagai penyakit dan wabak.
Terdapat kes keracunan makanan berpunca daripada penyediaan makanan dengan cara tidak tayyib. Suatu ketika dahulu, dunia pernah digemparkan dengan penyakit lembu gila berpunca daripada makanan lembu ternakan yang tercemar.
Negara kita juga pernah berhadapan kes virus nipah, Japanese Encephalitis (JE) dan penyakit anjing gila yang berpunca daripada binatang yang tidak halal.
Sejak 1997, ahli sains menemui beberapa virus berpunca daripada binatang tidak halal iaitu khinzir yang boleh menjangkiti manusia seperti porcine torovirus, porcine rotavirus, porcine reproductive dan respiratory syndrome virus dan H3N2 swine flu virus.
Hari ini, penduduk dunia termasuk di Malaysia masih kebimbangan akibat penularan coronavirus baharu (2019-nCoV). Ia juga berpunca daripada makanan yang tidak halal dan tidak tayyib. Ketika ini, rekod kematian akibat wabak itu di China sahaja dilapor membabitkan 490 nyawa.
Kita doakan semoga virus ini tidak terus merebak. Mudah-mudahan manusia mengambil pengajaran daripada pelbagai wabak yang berlaku untuk mereka mencari, memilih dan mengamalkan yang halal dan baik agar mereka selamat dunia dan akhirat.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang (UMP)
https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2020/02/653071/menjaga-agama-nyawa-dengan-makanan-halal
0 Komentar untuk "Menjaga agama, nyawa dengan makanan halal"