GEORGETOWN - Beberapa pihak yang tidak bertanggungjawab didakwa tidak berpuas hati terhadap sektor pelancongan Pulau Pinang bertindak menyebarkan fitnah menerusi sebuah program yang tidak wujud.
Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pihak terbabit juga dilihat cuba untuk sabotaj dan memudaratkan kerajaan negeri dengan membuat pembohongan melalui program yang tidak pernah dianjurkan di Batu Feringghi di sini.
Guan Eng juga berkata, beliau difahamkan hotel terbabit sudah membuat laporan polis ke atas perkara itu.
"Ini satu lagi fitnah jahat yang cuba untuk memburukkan nama kerajaan negeri dan hotel terbabit. Saya sudah arahkan satu laporan dibuat kerana mendapati ada pihak termasuk individu tertentu telah menyebar maklumat palsu ini.
"Dalam posting itu juga, kita mendapati ia menyebut Penang Tourism yang mempunyai kaitan dengan kerajaan negeri. Saya tegaskan disini, kerajaan negeri dan hotel tidak mempunyai kaitan malah saya difahamkan, program itu tidak ada pun," katanya kepada media di Majlis Amal Rock-A-Duck di Batu Feringghi semalam.
Menurutnya, maklumat yang disebarkan itu adalah berita palsu yang cuba menimbulkan kebencian di antara kaum dan agama.
"Saya rasa mungkin ada iri hati dengan perkembangan dan pembangunan pelancongan negeri yang kian pesat. Sebab itu golongan ektremis ini guna taktik ini untuk sabotaj dan timbulkan kebencian di antara kaum dan agama.
"Saya harap polis ambil tindakan segera ke atas pihak dan individu yang menyebarkan berita palsu ini. Kelakuan seperti ini telah mencemarkan bulan Ramadan yang baharu disambut umat Islam," katanya.
Terdahulu, satu posting menjadi viral di laman Facebook berhubung acara hiburan anjuran sebuah hotel dan dengan kerjasama Penang Tourism iaitu National Martubation Month bertemakan 'May has cum' akan diadakan pada 28 May 2017 (hari ini).
Posting yang didakwa palsu itu mendapat pelbagai reaksi pembaca termasuk mengecam penganjur dan kerajaan negeri.
0 Komentar untuk "Cubaan sabotaj pelancongan Pulau Pinang"