Najib, Hadi perlu berundur demi perpaduan Melayu, kata bekas menteri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Najib, Hadi perlu berundur demi perpaduan Melayu, kata bekas menteri

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mestilah berundur daripada kepimpinan negara dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula harus meletakkan jawatan sebagai presiden PAS demi menjayakan perpaduan Melayu, kata Tan Sri Zainuddin Maidin.

Bekas menteri penerangan itu berkata, Najib dan Hadi sudah hilang kredibiliti dan tidak mempunyai kekuatan menjadi asas perpaduan antara PAS dan Umno untuk pemulihan maruah bangsa, agama dan ekonomi negara.

"Orang Melayu melihat gerakan ke arah perpaduan PAS dan Umno sekarang ini lebih kerana dorongan kepentingan survival masing-masing dan bukan memenuhi idealisme dan mimpi rakyat," katanya melalui blognya zamkata.blogspot.com semalam.

Zainuddin berkata, ketamakan kuasa dan kebencian melulu PAS terhadap Umno menjerumuskan parti Islam itu ke lembah kehinaan politik dengan penggadaian prinsip utamanya, iaitu penjualan maruah parti, bersekongkol dengan pemimpin yang tidak bermoral dan tidak Islamik.
Beliau memberi contoh kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang melihat Umno sebagai “biawak” tetapi tidak melihat diri parti Islam itu sebagai “ular berkepala dua”.

Zainuddin merujuk kepada kenyataan Tuan Ibrahim sebelum ini yang menegaskan pendirian parti agar tidak sesekali menerima tawaran kerjasama dengan Umno walaupun dipelawa Najib kerana PAS tidak akan bersekongkol “memikul biawak hidup” sepertimana yang pernah diucapkan Hadi.

"Tuan Ibrahim masih mendabik dada terhadap kebersihan partinya tanpa menyedari ekornya bergelumang dengan najis,” kata Zainuddin yang pernah memimpin Utusan Melayu satu ketika dulu.

"Menteri besar Kelantan menyatakan kesediaan PAS untuk memaafkan kesilapan Umno pada masa lalu tetapi rakyat di kalangan PAS dan juga Umno malah rakyat di luar kedua-dua parti ini tidak dapat melupakan kesilapan baru Umno dan pemimpinnya dalam isu 1MDB (1Malaysia Development Berhad) dan (wang derma) RM2.6 bilion.”

Zainuddin berkata, tindakan pentadbiran Najib menggunakan media arus perdana untuk menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dapat menutup fakta bekas perdana menteri itu disanjung rakyat Malaysia.

“Apa pun cerita disebarkan sama ada bersifat fitnah atau benar terhadap kepimpinan Tun Dr Mahathir, tidak akan dapat menutup suatu era pimpinannya yang tersohor, bergelora dengan kebanggaan dan semangat tinggi rakyat dan negara mendapat sanjungan luar.

“Sebaliknya sekarang rakyat merasa kehinaan diri atas beberapa isu terutama sekali keadaan ekonomi. Contoh paling kecil hakisan ringgit dari hari ke hari sedangkan PM membuat beberapa kali janji ringgit akan naik semula. Sekarang beliau tidak lagi berani mengulangi kenyataan ini,” kata Zainuddin.

Bekas menteri itu berkata, rakyat Malaysia kini terasa hakisan moral apabila mahu berbelanja di luar negara.

“Di Thailand mereka diminta pekedai supaya menukarkan mata wang Malaysia kepada mata wang  ain lebih dahulu pada hal sebelum ini mata wang Malaysia menjadi rebutan.

“Membangkitkan cerita Dr Mahathir menolong saudara maranya dan menyalahgunakan wang negara adalah menelanjangkan ‘cybertroopers’ Najib setaraf dengan media sosial lain yang sering dikecam kerajaan sendiri kerana tidak menghormati etika kewartawanan,” katanya. – 23 Disember, 2015.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/najib-hadi-perlu-berundur-demi-perpaduan-melayu-kata-bekas-menteri#sthash.bH6IOvoV.dpuf
0 Komentar untuk "Najib, Hadi perlu berundur demi perpaduan Melayu, kata bekas menteri"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI