Apa istimewanya ‘Polis Evo’? Pengkritik dedah ramuan kaut RM16j - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Apa istimewanya ‘Polis Evo’? Pengkritik dedah ramuan kaut RM16j

KUALA LUMPUR, 24 Okt — Siapa sangka filem “Polis Evo” pecah panggung?

Filem aksi komedi berbaur jenayah bukanlah baru dalam industri perfileman negara, namun “Polis Evo” masih menguasai pawagam walaupun sudah lebih sebulan ditayangkan.

Sehingga Khamis lepas, filem terbitan Astro Shaw ini mengaut jualan tiket lebih RM16 juta—cuma perlu RM1.8 juta lagi untuk mengatasi rekod “The Journey” terbitan syarikat sama tahun lepas.

Ramai menjangka “Polis Evo” mampu mencatat rekod baru, namun apa istimewanya filem ini, yang berkisahkan tentang satu penyiasatan operasi dadah di Terengganu?



ProjekMMO menemubual beberapa pengkritik dan penggiat filem untuk mendapat pandangan mereka.

Aidil Rusli: kolumnis filem Malay Mail Online, vokalis kugiran power-pop Couple

Walaupun “Polis Evo” memakai formula filem aksi “buddy-cop” dari Hollywood, para pembikinnya berjaya “memalaysiakan” formula tu.

Kali ini kita tidak rasa macam kita tengok muka sahaja orang Malaysia, tapi mereka pura-pura berlakon watak filem orang putih. Kali ini kita nampak muka orang Malaysia yang melakonkan watak orang Malaysia.

Malaysia memang ada banyak blockbuster sebelum ini, tapi tidak seperti blockbuster dari Hollywood yang selalunya kemas mengikut formula, blockbuster kita amat jarang sekali berjaya mengikut formula.

Kalau kegagalan ini atas sebab ingin mencuba benda baru dan original, kita boleh maafkan. Tetapi selalunya ia disebabkan oleh kemalasan untuk menulis skrip dengan kemas dan betul. Mungkin juga ada yang tidak sedar akan kewujudan formula yang boleh diikuti.

Jadi di sinilah kelainan “Polis Evo”, ditambah pula dengan kekemasan kerja teknikal seperti sinematografi, lakonan, pencahayaan, penataan bunyi dan suntingan.

Pendek kata, “Polis Evo” betul-betul terasa seperti sebuah filem yang dibikin dengan teliti, oleh orang-orang yang ingin menghasilkan kerja yang baik dan bukan tangkap muat.



Shamaine Othman: pelawak berdiri, pelakon, penulis, dan penerbit

Pada masa ini, hendak terbitkan sesuatu filem memang satu perjudian. Penerbit tidak tahu sangat apa yang menjadi dan apa yang tidak.

Namun, mungkin “Polis Evo” satu kejayaan kerana ia ada cerita yang bagus, senang didapati dan ada karakter-karakter yang sangat disenangi.

Kita sudah lama tiada filem genre “buddy-cop”. Atau mungkin filem ini yang pertama? Mungkin saya silap.

Kalau mahu dibandingkan dengan “box office hit” lain, “Polis Evo” mungkin kali pertama filem “buddy-cop” berjaya.

Mamü Vies: penulis, penterjemah, pengkritik filem di blog The Mamü Vies

Salah faham yang paling berleluasa sejak entah bila, antaranya, selera penonton bergantung semata-mata pada trend dalam bentuk genre, macam penonton itu ayam yang cuma ikut sesiapa saja yang menabur dedak.

Kalau satu filem “rempit” meletup, untuk dua tahun seterusnya pihak penerbitan akan berebut menghasilkan filem “rempit”. Begitu jugalah dengan filem gengster, cinta, “pailang” atau “Islamik”. Walhal penonton cuma mahukan filem yang bagus dan menghiburkan.

Tengok saja senarai lima filem paling pecah panggung dalam sejarah Malaysia — ada filem drama, filem aksi, filem seram, filem komedi dan filem rogol-cinta.

Satu benda yang menghubungkan semua adalah bagaimana semua ini mempunyai word-of-mouth yang tersebar luas; hasil gabungan pemasaran yang berkesan dan, paling penting, filem dibuat dengan baik yang penonton “boleh beli”, serta kemudian mudah untuk mereka ceritakan semula dan yakinkan yang lain untuk turut pergi menonton.

“Polis Evo” mungkin filem pertama yang betul-betul berjaya mendefinisikan filem bagaimana yang diperlukan oleh industri dan penonton filem Malaysia.

Bukan dari segi genre, bukan dari segi pengarah atau pelakon; tapi filem-filem yang boleh dirumuskan begini – bermutu tinggi dalam semua aspek pembuatannya, dengan isi yang tidak meminggirkan penonton, malah mampu mengajak kita untuk turut serta dalam penceritaannya dari awal sampai habis.

Kalau ada pengajaran yang pihak produksi lain mahu ambil dari “Polis Evo”, amatlah disarankan untuk mereka beri perhatian kepada dua perkara ini. Tidak mengapa kalau kail panjang sejengkal, asalkan kita memancing di tempat yang sesuai dan pancinglah sehabis baik.



- See more at: http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/apa-istimewanya-polis-evo-pengkritik-dedah-ramuan-kaut-rm16j#sthash.2r3bhPE0.dpuf
0 Komentar untuk "Apa istimewanya ‘Polis Evo’? Pengkritik dedah ramuan kaut RM16j "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI