BAJET 2016: Dr. Khairudin Aman Razali at Takiri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

BAJET 2016: Dr. Khairudin Aman Razali at Takiri


Berikut adalah beberapa respon awal saya terhadap Bajet 2016 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak semalam di Dewan Rakyat pada Jumaat 23hb Oktober 2014:

1. Bajet 2016 dengan anggaran perbelanjaan RM267.2 bilion dan pendapatan RM225.7 bilion sekali lagi adalah bajet defisit menjadikan ia bajet defisit tahun ke 19 berturut-turut sejak 1998. Adakah kerajaan mampu mencapai bajet berimbang pada tahun 2020 sebagaimana sasaran kerajaan? Saya sangat meraguinya.

2. Rakyat juga tidak boleh terpedaya dengan bajet defisit ini kerana nanti akan disusuli lagi beberapa bajet tambahan yang akan menambahkan lagi defisit sebenar perbelanjaan kerajaan. Bajet tambahan sehingga 3 kali setahun telah menjadi amalan kerajaan akhir-akhir ini.

3. Ini belum diambil kira bajet yang tidak dilaporkan sepertimana berlaku menerusi penubuhan syarikat milik kerajaan seperti 1MDB yang berhutang sehingga RM42 bilion dengan jaminan kerajaan.

4. Sekalipun defisit fiskal dijangka menguncup kepada 3.1% pada 2016, isunya ialah bajet berasaskan perbelanjaan (expenditure-based budget) masih menjadi amalan Kerajaan sedangkan Islam mengajar supaya berbelanja mengikut kemampuan dan keperluan sebagaimana saya sentuh dalam kenyataan-kenyataan saya sebelum ini.

5. Bajet defisit akan meningkatkan hutang negara yang sudah sedia tinggi melebihi RM600 bilion. Dan ia akan diburukkan lagi dengan beberapa bajet tambahan yang sudah menjadi amalan kerajaan setiap tahun akhir-akhir ini.

6. Penyelesaian kepada bajet defisit ialah penjimatan. Namun, saya tidak melihat ianya tercerna dalam bajet kali ini.

7. Ini antara bukti tidak berlaku anjakan mentaliti dan 'political will' pada Kerajaan dalam menguruskan ekonomi dan kewangan negara.

8. Perbelanjaan mengurus sehingga 80.5% berbanding hanya 19.5% untuk pembangunan daripada jumlah perbelanjaan adalah tidak seimbang serta tidak selari dengan 'benchmark' negara-negara maju yang berada pada nisbah sekitar 60:40.

9. Peruntukkan sebanyak RM70.5 bilion atau 32.8% daripada jumlah perbelanjaan mengurus untuk emolumen pula menunjukkan sepatutnya penjawatan dalam kerajaan harus disemak semula untuk mengurangkan perbelanjaan bagi tujuan itu pada masa depan justeru dapat mengurangkan birokrasi dan meningkatkan keberkesanan perkhidmatan. Bukan untuk mengurangkan perjawatan sedia ada tetapi untuk ditingkatkan tahap kecekapannya agar tidak berlaku pertambahan perjawatan pada masa depan.

10. GST dengan unjuran kutipan sebanyak RM39 bilion pada 2016 dianggap sebagai penyelamat oleh kerajaan apabila negara berhadapan penyusutan hasil akibat penurunan harga minyak dunia. Kerajaan berkata "nasib baik ada GST"!!! Hakikatnya, jangan dilupakan isu pokok iaitu GST adalah cukai tidak patuh syariah kerana dikenakan berdasarkan perbelanjaan dan dikenakan kepada semua barang melainkan yang dikecualikan serta dikenakan kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaya dan miskin. Bagi saya cukai tidak patuh syariah yang didambakan oleh kerajaan menjadi sebab untuk Allah menarik nikmat pendapatan yang halal menerusi minyak. Pelaksanaan polisi ekonomi tidak patuh syariah membawa kepada kemusnahan ekonomi kerana adalah mustahil Allah memberkati sesuatu yang ditegah olehNya.

11. Komitmen Kerajaan untuk membina sehingga 351,500 unit rumah termasuk sebanyak 20,000, 2,000 dan 2,000 unit rumah masing-masing untuk FELDA, FELCRA dan RISDA adalah suatu yang baik tujuannya dan saya secara peribadi memberikan pujian untuk itu. Namun, ia tidak menyelesaikan isu pokok harga rumah yang masih tinggi. Kerajaan memberikan potongan harga berdasarkan harga pasaran yang masih lagi didominasi oleh harga spekulasi.

12. Usaha untuk menstrukturkan semula industri perumahan dalam negara kita melibatkan kementerian, agensi dan jabatan berkenaan, pemaju dan persatuan berkaitan serta guaman mesti dilakukan. Langkah mengekang kenaikan harga hartanah juga mesti dibuat bagi menyelesaikan isu pemilikan rumah ini secara berkesan dan jangka panjang. Langkah-langkah ke arah itu tidak tercerna menerusi bajet kali ini.

13. Kegembiraan rakyat yang digula-gulakan dengan kenaikan BRIM tidak akan melupakan mereka dengan isu pokok iaitu kenaikan harga barang, kemerosotan nilai ringgit dan kemerosotan nilai berbelanja bagi pendapatan yang akan menelan kembali BRIM yang diterima. Ia juga bukan penyelesaian jangka panjang bagi isu kemerosotan ekonomi kerana ia ibarat memberi ikan dan bukannya kail.

Jika diizinkan Tuhan, saya akan memberikan komentar yang lebih lanjut dalam sesi perbahasan nanti insyallah.
Sekian.
“Membina Malaysia Sejahtera”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Sabtu, 24 Oktober 2015 | 11 Muharram 1437H

0 Komentar untuk "BAJET 2016: Dr. Khairudin Aman Razali at Takiri"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI