Pas Bidas Kenyataan Mat Sabu Desak Adun, Ahli Parlimen Tinggalkan Parti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pas Bidas Kenyataan Mat Sabu Desak Adun, Ahli Parlimen Tinggalkan Parti

SHAH ALAM: PAS Selangor membidas kenyataan Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu yang mendesak semua wakil rakyat PAS melepaskan jawatan masing-masing dalam parti itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atau Ahli Parlimen, kesemua wakil rakyat PAS diberi mandat atau surat watikah perlantikan oleh parti untuk bertanding.

"Kita juga diberikan mandat sebagai pemimpin yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu oleh pengundi atau rakyat, ataupun pengundi-pengundi sama ada dari PAS, PKR, DAP dan mungkin juga dari Umno dan parti-parti lain.

"Tidak wajar kalau kita mengkhianati undi atau amanah daripada pengundi-pengundi tersebut. Seingat saya GHB atau Parti Amanah Rakyat (parti baharu yang akan ditubuhkan GHB) pun tak wujud lagi, jadi kenapa pula Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat perlu meletakkan jawatan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS Selangor di sini, Isnin.

Pada Isnin, dilaporkan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendesak semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas melepaskan jawatan masing-masing memandangkan semua menang dalam PRU-13 adalah atas tiket ‘bersama pakatan pembangkang.’

Sementara itu, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menegaskan bahawa wakil rakyat parti tersebut bukan bertanding atas tiket Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Kita bukan bertanding atas tiket Pakatan Rakyat, simbol yang kita bawa adalah simbol parti (PAS)," katanya.

Walaupun mengakui Pakatan Rakyat merupakan antara faktor kemenangan wakil rakyat PAS, namun katanya, pencalonan dalam PRU-13 diputuskan oleh parti Islam itu sendiri.

"Kalau tidak ada PAS, tak ada logo atau watikah, mereka tak akan menang. Malah mereka tak boleh jadi calon untuk bertanding pun pada pilihan raya," kata Khairudin.

0 Komentar untuk "Pas Bidas Kenyataan Mat Sabu Desak Adun, Ahli Parlimen Tinggalkan Parti"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI