PKR dilapor kecam DAP, Tony Pua - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PKR dilapor kecam DAP, Tony Pua

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilapor mengecam DAP khususnya Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua, kerana memberi kata dua kepada Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.

Ahli PKR dikatakan tidak berpuas hati dengan kelantangan Tony Pua memberikan kata dua kepada Azmin sama ada memilih DAP atau Pas bagi meneruskan pentadbiran negeri Selangor.

FMT difahamkan kecaman ahli PKR terhadap Tony Pua dibuat dalam Mesyuarat Pimpinan PKR Selangor di kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor pada Ahad lalu.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Azmin selaku Timbalan Presiden PKR dan juga Pengerusi PKR Negeri Selangor.

Kata dua oleh Tony Pua itu merupakan antara pilihan yang dicadangkan oleh DAP bagi menyelesaikan kemelut yang melanda tiga parti yang menjejaskan pentadbiran Negeri Selangor.

Kata dua itu adalah pilihan terakhir DAP jika cadangan supaya Selangor ditadbir secara ‘kerajaan negeri gabungan’ tidak diterima.

Sementara itu akhbar rasmi Kerajaan Selangor, Selangor Kini melaporkan Azmin berkata, Mesyuarat PKR Selangor pada Sabtu lalu itu tidak membincangkan penubuhan gabungan baru bagi menggantikan Pakatan Rakyat iaitu Pakatan 2.0.

Azmin dipetik berkata, PKR kekal dengan semangat Pakatan Rakyat dan reformasi tanpa menyentuh soal pembentukan Pakatan 2.0.

Kenyataan Azmin itu berbeza dengan pendirian DAP dan pimpinan PKR lain.

DAP telah mengumumkan PR sudah tidak wujud begitu juga dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang telah umumkan PR secara rasmi tidak berfungsi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, walaupun PR sudah tidak wujud, kerja sama antara tiga negeri, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan akan diteruskan.

Anwar berkata, pakatan pembangkang akan muncul semula dengan lebih kuat dan kukuh.

Naib Presiden DAP, Teresa Kok pula baru-baru ini membayangkan penubuhan Pakatan 2.0 bagi menggantikan PR dengan penubuhan parti baru menggantikan Pas.  - FMT

0 Komentar untuk "PKR dilapor kecam DAP, Tony Pua"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI