Di sini lahirnya tokoh-tokoh pembelit ... - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Di sini lahirnya tokoh-tokoh pembelit ...



Oleh Roslan SMS

Rupa-rupanya kerja-kerja “spin” atau memutarbelit kenyataan tokoh politik demi kepentingan peribadi sudah semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Sebelum ini Utusan Malaysia, TV3 dan Malaysian Insider sahaja yang pakar dan juara dalam bab ini, kini ramai pula anak-anak didiknya.

Posting saya yang terdahulu merujuk kepada kenyataan Mursyidul Am PAS Dato Dr Harun Din berkenaan skandal penyaluran dana awam ke dalam akaun peribadi PM, yang didedahkan WSJ. Kenyataan Dr Harun Din malangnya telah di “spin” oleh Setiausaha Agung DAP lalu diceduk oleh media seakan menampakkan yang Dr Harun Din “membela” PM dalam kes ini.

Malah PM pun selepas itu mengucapkan terima kasih atas apa yang dikatakan kenyataan Muryidul Am PAS itu.

Terbaru, satu lagi mangsa “spin” dalam kes yang sama adalah kenyataan Presiden PAS Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Bersetuju dengan pandangan Dr Harun Din, Tuan Guru dilaporkan berkata:

“Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga… saksi yang adil.”

Dimanakah cacatnya?

Ia menjadi cacat apabila di “spin” seperti berikut:

“And so, Hadi's statement raises a crucial question: is Hadi really interested in ensuring justice is not denied or is he trying to cleverly insulate Najib at a time when the country is grappling with one of its worst financial scandals that involves the top man?” (The Malay Mail)

“Jadi kenyataan Hadi (itu) membangkitkan persoalan adakah Hadi benar-benar berminat dalam memastikan keadilan tidak dinafikan atau adakah beliau mencuba untuk melindungi Najib ketika seluruh negara sedang berhadapan dengan krisis kewangan yang paling buruk melibatkan pimpinan tertinggi (negara)?”

Ulasan tersebut dikeluarkan oleh ahli Parlimen Kelang, Charles Santiago, yang juga seorang pimpinan kanan DAP.

Saya dapati jaguh-jaguh “spin” termasuklah Malaysiakini sebenarnya telah menceduk kenyataan asal Tuan Guru di atas dan cuba memperlekehkan seolah Tuan Guru menyatakan bahawa dalam kes Najib ini sebagaimana kes liwat Anwar Ibrahim, perlu ada empat orang saksi!

Sedangkan kalau kita teliti kenyataan Tuan Guru itu ia membawa maksud Islam menitikberatkan kesahihan dakwaan. Dalam kes liwat contohnya perlukan empat orang saksi dan dalam kes Najib ini juga perlukan saksi (bukan bermaksud empat orang juga).

Dalam erti kata lain meminjam istilah perundangan Inggeris (sebab mereka ini memandangkan rendah perundangan Islam) “credible evidence” yang “beyond reasonable doubt” ataupun bukti kukuh yang melampaui keraguan.

Adakah menuntut keadilan menurut Islam sesungguhnya melindungi pesalah, sebagaimana cuba diketengahkan "secara jahat" oleh Santiago?

Saya perhatikan kenyataan Tuan Guru dipermain dan diperendah dalam banyak posting di media sosial, akibat di “spin” oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Pada dasarnya saya melihat PAS konsisten dalam kes pendedahan WSJ ini. Mursyidul Am dan Presiden PAS mengeluarkan kenyataan yang seimbang dan selaras dengan Islam.

Dan pada waktu yang sama saya difahamkan Ketua-ketua Penerangan PAS Negeri-negeri telah diarahkan membuat laporan polis berkenaan pendedahan itu.

Kesimpulannya sebagaimana kenyataan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan yang dilaporkan portal MStar:

"Apa yang Dr Haron dan Hadi maksudkan adalah dakwaan itu bagaikan tidak logik tetapi perkara itu sesuatu yang serius dan tidak seharusnya dipandang ringan. Ia perlu disiasat secara bebas dan adil,"

Yang anehnya semasa kita menghadapi isu ini dengan sikap dan pandangan dari pelbagai sudut, kawan-kawan dalam DAP lebih gemar mengacukan senjata mereka ke arah PAS, kenapa ya?

Sedar tak sedar yang dicederakan bukannya pemimpin PAS tetapi hukum dan peraturan Islam. Jangan sampai dilihat anti Islam nanti.

0 Komentar untuk "Di sini lahirnya tokoh-tokoh pembelit ..."

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI