Antara politik kiasu DAP-PKR dengan politik budiman PAS - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Antara politik kiasu DAP-PKR dengan politik budiman PAS

Oleh Abdul Rahman Malik

Nampaknya politik kiasu yang diamalkan oleh DAP mahu diangkat menjadi kayu ukur kebijakan berpolitik di Malaysia seperti yang dipamerkan oleh Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng.

Berpedomankan laporan akhbar kapitalis, Wall Street Journal (WSJ), Guan Eng mahu rakyat dan semua pihak yang mempunyai kepentingan politik di Malaysia menyokong pendekatannya menentukan apakah makna keadilan di negara ini.

Neraca yang digunakan ialah sentimen. Lebih tepat lagi kebencian. Berselindung di sebalik perang menentang salah guna kuasa oleh pemerintah, rasuah dan kronisme, Guan Eng menyambar peluang itu untuk merombak sistem politik negara.

Sedihnya, baik DAP yang dipimpinnya dan sekutunya PKR, langsung menyisihkan konsep demokrasi sebenar dan perihal ciri-ciri keadilan mutlak yang sepatutnya menjadi citra parti mereka.

Di manakah nilai demokrasi jika sebelum diadili oleh sistem perundangan negara Guan Eng dan konco-konconya mahu Datuk Seri Najib diganti berhubung laporan WSJ yang belum dipastikan sahih atau tidak?

Begitu juga gelagat PKR. Teruja dengan politik kiasu DAP yang dilihat boleh membantu mereka membolot kuasa, PKR langsung mengenepikan lunas-lunas keadilan dengan menuntut keputusan pilihanraya umum 2013 dimansuhkan?

Kononnya ini adalah kerana Umno-BN telah melanggar peraturan peruntukan perbelanjaan pilihanraya hanya bersandarkan laporan WSJ yang menyatakan ada lebih RM2 bilion dalam tiga akaun bank Najib.

Adakah ini caranya untuk membuktikan bahawa PKR benar-benar sebuah parti yang memperjuangkan keadilan untuk semua jika prinsip-prinsip keadilan tidak diendahkan lantaran teruja dengan kemungkinan 'menyambar' kuasa?

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai tiga akaun bank yang menakung simpanan berjumlah RM2.6 bilion.

Apakah demokrasi hanya bersandarkan laporan media asing?

Adakah demokrasi namanya jika seluruh sistem politik negara boleh diubah dengan hanya bersandarkan laporan akhbar sebuah negara kuasa besar? Mudahnya Malaysia dijajah oleh pemikiran rakus sebegini.

PKR sering melaungkan bahawa demokrasi tidak boleh terlaksana jika rakyat dinafikan hak mendapat keadilan. Keadilan apa namanya ini jika PKR mahu Najib dibicarakan dalam mahkamah kanggaru sebegini.

Hanya kerana menghidu peluang untuk menutup kecelaruan dalam rumahtangga Pakatan Rakyat kini, DAP dan PKR cuba mengalihkan pandangan rakyat kepada apa yang dipanggil soal moral perdana menteri.

Di manakah dibuang konsep kedaulatan undang-undang yang menjadi salah satu Rukunegara Malaysia? Adakah melalui tindakan sebegini ia akan menjadikan DAP dan PKR pewaris atau pengganti BN yang berwibawa?

Lebih menyedihkan apabila ada suara sederhana dan waras supaya tuduhan akhbar asing ini disiasat dengan saksama, DAP dengan segala sikap kiasunya menerkam dengan hujah bahawa ini adalah satu pengkhianatan pada politik pembangkang.

Terkaman itu ditujukan kepada PAS.

Sebagai pemimpin-pemimpin yang terdidik oleh Islam, PAS tidak melatah dan mengambil sikap adil dan demokratik minta kesahihan laporan 'orang asing' itu diteliti terlebih dahulu.

Politik budiman PAS

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengsyorkan supaya prinsip keadilan Islam digunapakai untuk menangani isu berkenaan.

"Pendirian kita pendirian Islam. Kalau tuduhan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kena ada empat saksi, sama juga dengan tuduhan ke atas Najib, kena ada saksi juga…saksi yang adil.

"Kita ikut asas Islam, sikap yang baik kita sokong, yang tidak baik kita tentang," katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang dikatakan cuba mempertahankan Perdana Menteri daripada skandal yang dicetuskan oleh WSJ kononnya wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai berbilion ringgit disalirkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Dr Haron menyifatkan dakwaan WSJ itu sebagai 'tidak logik' dan menggesa siasatan dilakukan terlebih dahulu.

Katanya, jika seseorang individu hendak mengambil dana awam untuk tujuan tertentu, dia akan menggunakan akaun sulit dan bukannya menerusi akaun peribadi.

Pendirian PAS itu 'mengejutkan' DAP. Lim Guan Eng terperanjat bila membaca laporan bahawa Hadi ada berkata, empat saksi perlu ditampilkan bagi menyokong tuduhan tidak amanah terhadap pemimpin Barisan Nasional itu.

"Jika kita perlu empat saksi untuk membuktikan kes rasuah, maka setiap yang tertuduh melakukan rasuah, akan terlepas bebas.

"Malah tidak ada negara Islam lain yang menggunakan undang-undang seumpama itu. Mereka menggunakan dokumen untuk membuktikan kes rasuah. Dalam zaman ini urusniaga dilakukan melalui komputer," katanya.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, Hadi menggunakan tafsiran menurut syariah Islam itu hanya alasan untuk mempertahankan Najib.

"Ini adalah kepimpinan baru PAS. Ia mempunyai pendirian dan imej baru. Pemimpin-pemimpin PAS kini mempertahankan Perdana Menteri," katanya.

Demikian politik budiman yang dibimbing oleh ajaran dan nilai agama.. Lawan kepada nilai mulia ini ialah sikap gopoh dan kiasu yang ditunjukkan oleh DAP dan PKR.

Tuduhan ke atas Najib ini masih belum dibuktikan benar. Siasatan sudah digerakkan oleh agensi-agensi negara. Mana mungkin hanya DAP dan PKR sahaja yang wajar menentukan apa itu salah; apa itu demokrasi, dan, apa itu keadilan dalam kes ini!

Ini langsung menyelitkan kecurigaan adakah tuduhan DAP terhadap sikap PAS ini terbit dari kebencian mereka terhadap pemimpin ulama PAS? Atau, ia adalah lanjutan dari kebencian atau sikap Islamofobia mereka terhadap Islam?  - AntaraPos

0 Komentar untuk "Antara politik kiasu DAP-PKR dengan politik budiman PAS"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI