KELIBAT figura ini dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Apa saja yang dilakukannya, baik soal karier mahupun kehidupan peribadi pasti menjadi bualan.

Bahkan sejak 10 tahun berada dalam industri seni, sudah pelbagai onak ranjau yang dilalui sehingga membuatkan dia kebal dengan segala kutukan dan penghinaan.

"Selama 10 tahun, memang dah banyak yang saya lalui. Kalau dulu orang lebih suka kutuk di dalam blog, tapi kini dengan kecanggihan teknologi, kalau orang nak kutuk, memang terus kepada saya.

"Lima tahun lalu, saya mungkin cepat tertekan kutukan dari orang luar. Tapi kini saya anggap kutukan itu satu gurauan sahaja.

"Bukan senang saya nak tangani 1.3 juta pengikut. Jadi kalau terlalu negatif sangat, saya terus sekat mereka jadi pengikut saya," katanya yang ditemui media pada majlis pelantikannya sebagai duta Safi Rania Gold di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Justeru tatkala ditebak mengenai kutukan pihak lain terhadap hubungan mesra Nora bersama bekas keluarga mertuanya, setelah ada pihak menganggap Nora masih terhegeh-hegeh dengan ibu serta bapa Jejai (Toh Muda Rizal Ashram Ramli), Nora punya jawapan tersendiri.

"Dah lama orang bercakap perkara ini. Tapi bagi saya, walaupun saya dah berpisah, itu bukan bermaksud saya kena berpisah dengan keluarganya.

"Saya juga faham perasaan Fasha. Tapi kami semua bahagia, cuma orang luar yang suka burukkan keadaan," jelasnya.

Tambah Nora lagi, dia sudah menganggap bekas bapa mertuanya, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan ibu mertuanya, Raja Puan Sri Noora Ashikin Raja Abdullah seperti bapa dan ibunya sendiri.

"Kalau orang di luar sana nak tahu, saya dan keluarga hanya sebatang kara di sini, apatah lagi ibu saya berasal dari Myanmar dan keluarga berada di sana.

Jadi bila saya berkahwin dengan Jejai, saya dah anggap keluarga mertua seperti keluarga saya sendiri," katanya.


Rayqal minta adik!

Dalam pada itu, berkongsi perkembangan mengenai anaknya, Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 5, Nora berkata, dia sedang melalui pengalaman baru setelah Rayqal dimasukkan ke sebuah sekolah antarabangsa.

“Mula-mula itu, saya agak risau kerana usianya baru sahaja 5 tahun. Tetapi mujurlah sekolah tersebut menyediakan satu diari untuk ibu bapa memantau prestasi anak-anak setiap hari. Malah Jejai dan keluarga mertua juga banyak membantu memantau kerja sekolahnya," katanya.

Bagaimanapun ujar Nora, baru-baru ini Rayqal telah membuat permintaan yang membuatkannya terkedu.

"Walaupun dia sudah ada adik, tapi dia tak cemburu. Malah jika dia ke rumah Jejai, dia teruja untuk berjumpa adik-adiknya.

"Sehinggakan dia pernah menyuruh saya melahirkan seorang adik untuknya dan melarang saya diet kerana mahu saya mudah hamil," katanya sambil ketawa.

Bagai memahami soalan seterusnya daripada pihak media, Nora berkata, hubungannya dengan Nedim Nazri berjalan seperti biasa dan jika ada rezeki, dia sememangnya merancang untuk berkahwin.

"Buat masa ini kami fokus pada kerjaya dan anak-anak. Kalau ada rezeki memang kami mahu berkahwin. Jadi doakanlah yang terbaik untuk kami," katanya.


Punca Hanez tersingkir?

Sementara itu, ditebak penyingkiran Hanez Suraya daripada produksi telefilem Cikgu Timah Sekolah Bandar, di mana Nora menjadi salah seorang pelakon dalam telefilem tersebut, Nora menjelaskan, dia amat terkejut selepas dimaklumkan berita itu.

"Saya sebelum ini memang sibuk dengan kerja dan tak tahu mengenai isu Hanez digam. Jadi ketika hari pertama ke set penggambaran, saya memang teruja nampak Hanez di set dan berkongsi gambar bersamanya di Instagram.

"Tapi hari yang sama, kawan saya beritahu ramai yang memberi komen negatif di gambar itu, dan saya telah bertindak memadam komen yang tak sepatutnya.

"Esoknya sebalik kembali ke set, pihak produksi minta saya jalani semula penggambaran kerana Hanez dikeluarkan dari telefilem tersebut dan saya terkejut kerana saya ingatkan sayalah yang menjadi punca Hanez disingkirkan.

Tapi produksi dah beri penjelasan dan saya terpaksa akur keputusan mereka," katanya yang kini fokus untuk mempromosikan produk Safi Rania Gold.

Pada masa sama, dia juga sibuk dengan penggambaran filem Suamiku Jatuh Dari Langit bersama Qi Razali, selain menunggu tiga filem, Gudang Kubur Hantu Bungkus Ikat Tepi dan Polis Evo yang dijangka tayangan tahun depan.