Jangan hanya salahkan Cina bila sokongan merosot, penganalisis beritahu Umno - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Jangan hanya salahkan Cina bila sokongan merosot, penganalisis beritahu Umno

Umno yang tampil memarahi kaum Cina atas kemerosotan sokongan terhadap parti itu dinasihatkan mencari punca mengapa sokongan mereka menurun daripada hanya menyalahkan satu kaum. – Gambar fail The Malaysian Insider, 26 Oktober, 2014.

Para penganalisis politik menolak tindakan Umno Selangor menyalahkan pengundi Cina ekoran kemerosotan undi mereka kepada Barisan Nasional, dan meminta mereka melihat kelemahan mereka sendiri sebelum mengambil pendekatan mudah itu.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian berkata, sokongan rendah bagi BN bukan dari satu kaum sahaja, tetapi juga kerana pemotongan subsidi bahan api yang membawa kepada peningkatan 20 sen harga, satu faktor yang sangat penting.

"Pemotongan subsidi minyak mempunyai kesan yang mendalam dan kekal pada pengundi. Kajian dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 dan ke-13 menunjukkan langkah-langkah tersebut membuatkan sokongan politik untuk parti itu berubah," kata Ibrahim kepada The Malaysia Insider.



"Setiap kali kerajaan meningkatkan harga petrol, terdapat pengurangan dalam populariti perdana menteri."
Ibrahim berkata demikian bagi mengulas kenyataan pemimpin Umno Selangor bahawa orang Cina di sebalik gerakan menyebarkan kebencian terhadap BN yang mengakibatkan pengurangan sokongan bagi gabungan itu.

Menjawab penemuan terbaru kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel), Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Abdul Shukor Idrus berkata orang Cina adalah "ekstrem" dalam sokongan mereka terhadap Pakatan Rakyat (PR).

"Saya dapat melihat mereka berada di belakang gerakan untuk membenci BN. Saya dapat melihat orang Cina benar-benar benci BN," kata Shukor.

Kajian UMcedel yang dijalankan tiga hari selepas Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar Selangor yang baru mendedahkan, sokongan untuk PR di Selangor meningkat kepada 43%.

Bagaimanapun, sokongan kepada BN merosot kepada 20%, manakala 28% responden berkata mereka tidak menyokong mana-mana pakatan dan 9% lagi enggan memberi jawapan.

Satu kajian sebelumnya oleh UMcedel pada Mei tahun ini menunjukkan sokongan untuk PR adalah pada 35%, manakala sokongan kepada BN pada 25%.

Merdeka Centre yang juga sedang mengumpul hasil kaji selidik yang sama yang dilakukan di seluruh negara dan Ibrahim berkata, setakat ini hasilnya kelihatan sama dengan kajian UMcedel.

"Kajian ini akan keluar dalam minggu ini dan dalam banyak hal, keputusan kelihatan sama tetapi akan menunjukkan kesan nasional kepada sokongan dan populariti BN," katanya.

Ibrahim juga menyatakan kenaikan dalam sokongan untuk PR juga kerana selesainya "Kajang Move" yang berakhir dengan Azmin dilantik sebagai menteri besar Selangor.

"Ia menandakan berakhirkan pertelagahan dalam Pakatan yang bermain di mata masyarakat. Pengundi yang pro-PR, marah kerana krisis di Selangor, kembali semula setelah masalah itu reda."

Selain itu, bermula dari tahun 2005, Umno bergerak ke arah kanan dari spektrum politik, iaitu nasionalisme Melayu dan jenama Islam yang lebih konservatif, menjauhkan mereka dengan pengundi bukan Islam, katanya.

"Persoalan besar adalah apa yang membuat pengundi ini mengundi secara besar-besaran untuk BN dalam PRU 2004 dan kemudian berpaling dan menentang mereka pada tahun 2008?

"Umno yang mereka undi pada tahun 2004 berbeza daripada Umno pada 2008 berikutan janji-janji yang tidak dipenuhi, pernyataan yang menyakitkan hati dan salah tafsir terhadap harapan pengundi," tambah Ibrahim.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng bersetuju, mengatakan tadbir urus yang lemah dan pembaziran dana awam yang diperlihatkan kerajaan persekutuan tercermin dalam sokongan mereka di Selangor.

"Permintaan daripada pengundi lebih matang ialah supaya kerajaan menunaikan janji. Dan Selangor adalah kawasan yang sangat bersifat bandar. Sejauh kita dapat lihat, tidak ada dasar yang berkesan untuk membuatkan hidup lebih baik bagi orang-orang bandar," katanya.

"Banyak pembaziran dana awam seperti dinyatakan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya. Belanjawan baru-baru ini belum jelas dapat mengenalpasti bidang yang boleh mengetatkan dompet mereka.

Khoo mengecam Abdul Shukor, yang katanya benar-benar silap memahami kaji selidik itu.

"Untuk Umno terus menggunakan label bangsa dan menyalahkan satu kumpulan, mereka tidak memahami makna sebenar (kajian ini).

"Sepatutnya mereka mencari punca mengapa Cina tidak mengundi mereka, dan menyelesaikan isu-isu ini.

"Kenyataan sebegini tidak akan membantu BN dan menunjukkan bagaimana ahli-ahli politik yang malas yang tidak mahu berfikir secara mendalam mengapa sokongan mereka berkurangan," katanya.

Menyokong hujah itu, Ibrahim menggesa Umno Selangor berfikir mengapa sokongan terhadap mereka hilang, dan mengingatkan mereka jawapan bukan semudah itu dengan berkata satu bangsa lari dari mereka sepenuhnya.

"Pengundi adalah orang-orang yang praktikal. Walaupun orang membuat pilihan berdasarkan banyak faktor, ia juga didorong persepsi mereka terhadap parti politik menjalankan tugas mereka, dan sama ada mereka memperjuangkan nasib mereka," katanya.

Khoo menambah: "Selain itu, orang-orang ini bukan hanya menentang Umno, tetapi kepada semua 14 parti politik berbilang kaum di bawah payung Barisan Nasional." – 26 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/jangan-hanya-salahkan-cina-bila-sokongan-merosot-penganalisis-beritahu-umno#sthash.F7cl82s5.dpuf
0 Komentar untuk "Jangan hanya salahkan Cina bila sokongan merosot, penganalisis beritahu Umno"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI