Azmin nafi idam kerusi presiden PKR jika Anwar dipenjara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Azmin nafi idam kerusi presiden PKR jika Anwar dipenjara

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali melawat kawasan banjir di tempat letak kereta di Stadium Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Zhafri Azmi, 25 Oktober, 2014.

Mohamed Azmin Ali menafikan dakwaan wujudnya gerakan sulit menjatuhkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kononnya beliau mahu mengambil alih kerusi itu sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, perancangan itu tidak wujud dan dirinya kini lebih berminat menguruskan isu pentadbiran negeri berbanding hal dalaman politik parti.

"Tidak ada. Sekarang waktu kita bekerja. Jangan berpolitik. Masa berpolitik sudah selesai. Sekarang masa untuk bekerja," katanya kepada pemberita selepas turun padang melawat tapak kawasan banjir di Seksyen 13, Shah Alam, hari ini.

Menteri besar Selangor itu berkata, beliau mahu fokus terhadap kerja dan memenuhi tanggungjawab yang diberikan rakyat membangunkan negeri.
"Saya bersyukur kerana pasukan baru ini mendapat sokongan PAS, DAP dan PKR.

"Tanggungjawab saya ialah mendapatkan aspirasi rakyat kerana mereka mahu pembangunan di Selangor ini diteruskan dengan baik dan amanah. Ini satu tanggungjawab yang saya harus pikul. Fokus kerja," katanya.

Sebelum ini, beberapa kain rentang bertulis "Kami Mahu Azmin Ganti Presiden" dengan gambar Azmin bersongkok dikesan diletakkan di beberapa kawasan bandar termasuk Shah Alam.

Azmin semasa Pemilihan PKR 2014 berjaya mengekalkan kedudukannya untuk penggal kedua menewaskan pesaingnya, bekas setiausaha agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Manakala seorang lagi pencabarnya yang juga bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim digugurkan daripada pencalonan selepas dipecat PKR pada 9 Ogos lalu.

Timbul spekulasi juga semasa awal penamaan calon, Azmin mahu mencabar Dr Wan Azizah, namun tidak berlaku.

Penganalisis Wan Saiful Wan Jan pada 20 Oktober berkata, masa depan PKR bergantung di tangan Azmin dan beliau perlu dijadikan ikon baru memimpin parti itu dan Pakatan Rakyat (PR) jika ditakdirkan Anwar kembali meringkuk ke dalam penjara.

“Masa depan PKR tanpa Anwar sebenarnya bergantung pada Azmin, beliau perlu jadi pemimpin bukan sekadar untuk PKR, tetapi juga semua dalam PR,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu.

Bekas ketua PKR cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin pada sidang media Khamis lalu mendakwa, Azmin melobi istana mendapatkan jawatan menteri besar. – 25 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/azmin-nafi-idam-kerusi-presiden-pkr-jika-anwar-dipenjara#sthash.ErcecELr.dpuf
0 Komentar untuk "Azmin nafi idam kerusi presiden PKR jika Anwar dipenjara "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI