Hadi punca gagalnya impian Putrajaya Pakatan, kata penganalisis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hadi punca gagalnya impian Putrajaya Pakatan, kata penganalisis

Penganalisis berkata impian Pakatan Rakyat untuk tawan Putrajaya tidak akan berjaya selagi PAS diterajui Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insider, 16 Oktober, 2014.

Pakatan Rakyat (PR) tidak akan mampu menawan Putrajaya selagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang terus menerajui PAS sebagai presidennya, kata penganalisis, mengaitkan pemimpin konservatif itu dengan tembok kepercayaan yang runtuh akibat cara beliau menangani hubungan dengan DAP dan PKR.

Profesor James Chin dari Universiti Monash menyifatkan Hadi sebagai halangan utama PR untuk mara ke Putrajaya.

"Tidak akan ada kepercayaan (antara sesama parti dalam PR) selagi Hadi menjadi presiden PAS. PR tidak akan maju ke depan selagi Hadi tidak diganti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pandangan ini dipersetujui penganalisis politik Wan Saiful Wan Jan, yang berkata Hadi bersikap tidak matang dalam menangani kemelut menteri besar Selangor.
"Apabila Jawatankuasa PAS Pusat tidak setuju dengannya, Hadi pergi mengadu kepada badan lebih tinggi, iaitu Majlis Syura Ulama,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu berkata, sebagai presiden PAS, tindakan Hadi itu mendapat perhatian.

"Orang melihat sikap kebudak-budakan yang ditunjukkan presiden PAS dan ini menjejaskan kredibiliti.

"Jika Hadi kekal presiden, selagi itu label 'tidak boleh dipercayai' akan kekal terhadap  PAS," katanya kepada The Malaysian Insider.

PAS dan Hadi khususnya, dikritik penyokong PR kerana tidak sehaluan dengan PKR dan DAP dalam pemilihan calon menteri besar Selangor.

Hadi mempertahankan tindakannya, mengatakan ia selaras prinsip Islam dan berkata, dia berhak membuat keputusannya sendiri walaupun ia bertentangan dengan keputusan jawatankuasa pusat.

Pada penutup Muktamar Tahunan PAS di Johor bulan lepas, Hadi membuat ucapan berapi-api menjunjung golongan konservatif dalam parti dan bukan merapatkan barisan dengan PKR dan DAP, sebaliknya berkata dengan panjang lebar yang PAS akan mengikut prinsipnya sendiri dalam isu dasar dan pemerintahan, meskipun ia akan terus menjadi sebahagian daripada PR.

Ketegasan Hadi yang PAS dengan caranya sendiri dan tidak terikat kepada sekutunya dalam PR, diikuti golongan konservatif lain dalam parti Islam itu yang mahu kerjasama politik PAS dengan PKR dan DAP dikaji semula.

Ulama berusia 67 tahun itu, yang juga ahli Parlimen Marang, menerajui PAS sekarang ketika keretakan dalaman nampak begitu ketara.

PasMa, gerakan yang mahu mendesak PAS terus kekal dalam PR, ditubuhkan sebahagian bekas ahli PAS yang risau dengan hala tuju parti itu.

Pada Rabu, seorang ahli parti yang berharga, Mohd Tamrin Abdul Ghafar, meninggalkan PAS selepas 4 tahun lalu meninggalkan Umno untuk menyertai parti itu.

Anak bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau tidak gembira dengan cara PAS menangani kemelut menteri besar Selangor.

Wan Saiful berkata, selagi Hadi menjadi presiden, selagi itu orang ramai akan mempersoalkan sama ada PAS boleh dipercayai untuk terus setia dengan PR atau sebaliknya.

"Kalau pilih kepimpinan macam lalang, selagi itu masalah akan kekal. PAS perlu nyatakan pandangan betul-betul, hendak duduk dalam PR atau Barisan Nasional," katanya.

Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani sementara itu berkata, keretakan dalaman PR mula kelihatan semasa isu menteri besar Selangor.

"Ia makin nampak jelas khususnya semasa pilihan raya kecil Pengkalan Kubor," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Tetapi, situasi dapat diselamatkan kerana masih ada dalam PAS yang mahu parti terus teguh bersama PR,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menjangkakan keadaan akan jadi lebih buruk jika PAS meneruskan usaha mereka membentangkan pelaksanaan undang-undang hudud, sama ada di peringkat negeri atau Parlimen.

"Kalau PAS bentang Hudud di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, saya rasa mungkin PR boleh berpecah kerana tidak sehati sejiwa,” katanya.

Hadi sebelum ini dipersalahkan sebagai punca utama PAS hilang kuasa di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu, dengan pengkritik menuduhnya tidak mampu menyelesaikan perselisihan dalaman.

Hadi juga gagal mempertahankan Terengganu yang dimenangi PAS pada 1999 selepas mentadbirnya selama satu penggal.

Bantahan dalaman terhadap Hadi juga menjadi lebih jelas dengan tertubuhnya Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia atau Pasma itu.

Dalam krisis Selangor baru-baru ini, parti Islam itu yang paling teruk terkesan dengan 2 wakil rakyatnya digantung selama setahun kerana tidak mematuhi perintah parti.

"Walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin (Morib) digantung, ia tidak akan beri kesan besar kepada hubungan formal PR," kata Chin.

Bagaimanapun, Chin mengingatkan yang senario mungkin bertukar secara drastik jika Saari dan Hasnul memutuskan meninggalkan PAS dan menyertai PKR sebagai gantinya.

"Ia berpotensi menjadi krisis berat di dalam PR jika kedua-dua wakil rakyat itu keluar PAS dan menyertai PKR ," katanya kepada The Malaysia Insider. – 16 Oktober, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/hadi-punca-gagalnya-impian-putrajaya-pakatan-kata-penganalisis#sthash.DV7ogpfP.dpuf
0 Komentar untuk "Hadi punca gagalnya impian Putrajaya Pakatan, kata penganalisis"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI