Tiga calon akhir dilaporkan mengadap Sultan tak penuhi syarat sokongan majoriti, kata PKR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tiga calon akhir dilaporkan mengadap Sultan tak penuhi syarat sokongan majoriti, kata PKR

Ahli Parlimen Subang R Sivarasa pemilihan ketiga-tiga calon bagi menteri besar Selangor yang baharu membangkitkan satu persoalan serius sama ada Sultan Selangor menerima nasihat yang betul mengenai kedudukan Perlembagaan sewajarnya. – Gambar fail The Malaysian Insider, 22 September, 2014.
Ketiga-tiga nama yang diberitakan mengadap Sultan Selangor untuk dipilih sebagai calon menteri besar baharu tidak memiliki sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), kata R Sivarasa.

Sekiranya benar mereka berjumpa Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk ditemuduga kelayakan mereka menerajui negeri paling kaya di Malaysia, ahli Parlimen Subang itu mengatakan ia membangkitkan satu persoalan serius.

"Persoalan serius timbul sama ada Sultan Selangor menerima nasihat yang betul mengenai kedudukan Perlembagaan yang sewajarnya," kata penasihat undang-undang PKR itu dalam satu kenyataan.



Media melaporkan Sultan Selangor mengadakan pertemuan berasingan dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan wakil rakyat PAS Iskandar Abdul Samad dan Dr Ahmad Yunus Hairi untuk menilai kesesuaian mereka sebagai menteri besar.
Sambil Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mempunyai sokongan majoriti 30 daripada 56 Adun masih sabar menunggu mengadap Sultan, Sivarasa berkata sudah tentu Sultan bertindak demikian selepas menerima nasihat guaman yang sepatutnya.

"Baginda sudah tentu menerima nasihat undang-undang berkenaan tugas dan kuasa baginda di bawah Perlembagaan negeri," katanya.

Menurutnya, jelas dan tidak dapat dipertikaikan lagi ketiga-tiga calon itu tidak memenuhi syarat penting untuk dilantik sebagai menteri besar, iaitu sokongan majoriti.

"Calon daripada PAS paling banyak pun hanya boleh mendakwa mereka mendapat sokongan 13 Adun.

"Azmin pula dalam keadaan yang luar biasa kerana namanya tidak langsung secara rasmi dicalonkan oleh parti dan beliau sendiri mengisytiharkan secara terbuka sokongannya kepada Dr Wan Azizah dan ini dikukuhkan lagi melalui akuan bersumpah.

"Pada ketika ini, Azmin juga, tidak mampu mengemukakan sokongan majoriti," katanya.

Sivarasa memohon Sultan Selangor dan badan penasihatnya supaya menjelaskan peruntukan undang-undang yang digunakan istana dalam memilih calon menteri besar.

"Saya merayu Sultan dan penasihat undang-undangnya mempertimbangkan interpretasi jelas Mahkamah Tinggi bagi peruntukan yang sama dalam Perlembagaan Perak, dalam menentukan bakal menteri besar Selangor.

"Jika Dr Wan Azizah ditolak, sekurang-kurangnya perlu ada penjelasan peruntukan manakah dalam Undang-Undang Tubuh Negeri yang digunakan untuk menidakkan pencalonannya dan mengapa," soalnya.

Beliau merujuk krisis menteri besar di Perak pada tahun 2009 apabila Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mampu mengemukakan sokongan 31 Adun kepada Sultan Perak, sekaligus menyebabkan penyandang, Datuk Seri Ir Nizar Zakaria hilang sokongan majoriti dengan hanya 28 Adun selepas 3 Adun PR lompat parti dan menyokong Barisan Nasional (BN).

Malah, Mahkamah Persekutuan juga memutuskan kuasa Sultan dalam melantik Zambry adalah sah mengikut undang-undang.

Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Selangor akan diadakan pada esok pagi di Istana Alam Shah, Klang.

Namun nama calon sehingga kini masih belum diumumkan dan Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dilaporkan berkata nama pengganti Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan didedahkan hari ini.

Laporan Berita Harian Online pada minggu lalu memetik sumber istana mengesahkan calon menteri besar yang bakal dilantik bukan daripada wanita, sekaligus mengagalkan rancangan asal 'Langkah Kajang' PKR..

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berulang kali menegaskan pendirian parti itu yang mahu Dr Wan Azizah menjadi menteri besar tidak berubah walaupun spekulasi bertiup kencang Azmin bakal mengangkat sumpah esok. – 22 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/tiga-calon-akhir-dilaporkan-mengadap-sultan-tak-penuhi-syarat-sokongan-majo#sthash.H9FNhFsL.dpuf
0 Komentar untuk "Tiga calon akhir dilaporkan mengadap Sultan tak penuhi syarat sokongan majoriti, kata PKR "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI