Ke mana hala tuju ahli progresif dalam PAS? - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ke mana hala tuju ahli progresif dalam PAS?

Ahli PAS yang berbeza pendapat dengan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dituduh tidak wala' dan taat, pada muktamar yang berakhir semalam. – Gambar The Malaysian Insider, 21 September, 2014.
Soalan sebenar selepas berakhirnya Muktamar Tahunan PAS Ke-60 yang penuh hangat semalam bukan mengenai hala tuju parti itu, tetapi tindakan yang akan diambil ahli progresif dan liberal selepas ini.

Apakah mereka yang tidak setuju dengan cara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang konservatif itu akan terus berdiam diri atas nama wala' dan taat kepada pemimpin, atau mengambil sesuatu tindakan.

Berbeza dengan kebiasaan pemimpin tertinggi parti melafazkan ikrar perpaduan dan kesatuan pada penutup persidangan, Hadi pada hari terakhir muktamar melontarkan cabaran kepada mereka yang tidak bersetuju dengan pendekatan beliau agar meninggalkan parti itu.



"Dalam jamaah (parti) hanya ada satu imam. Kalau nak jadi imam juga, cari tanah lain dan buat masjid lain," katanya ketika memberikan ucapan penggulungan semasa muktamar di Batu Pahat, Johor semalam.
Ucapan itu adalah yang paling ketara menunjukkan sikap beliau terhadap pihak yang berbeza pendapat dengannya.

Sikap Hadi ini sangat berbeza dengan pimpinan PAS yang lain, termasuk pimpinan PAS sebelum ini.

Bekas presiden, Allahyarham Datuk Fadzil Noor dalam usaha menyatukan dua kumpulan besar dalam PAS mengambil pendekatan memprofesionalkan ulama dan mengulamakan profesional.

Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali sewaktu penggulungan muktamar semalam berkata, PAS tanpa ulama buta, tanpa profesional tempang.

Ucapan penutup lazimnya digunakan oleh pimpinan PAS untuk menyatukan perbezaan pendapat dalam parti, tetapi Hadi pula mengambil sikap "menghalau" mereka yang tidak bersetuju dengannya.

Awal bulan ini, ketika berdialog dengan penyokongnya di Terengganu, Hadi juga membuat ungkapan hampir sama ketika ditanya mengenai badan bukan kerajaan (NGO) baru, PasMa.

"Penubuhan parti baru, ini perkara biasa dalam negara demokrasi berparlimen, siapa-siapa yang nak tubuh parti, sila tubuh.

"Jadi mereka yang berlainan pendapat dalam PAS ni, dia nak tubuh parti, sila. Baik dia keluar, dia tubuh parti sendiri, senang tak payah duduk dalam," katanya dalam satu sesi penjelasan isu semasa di Rusila, Marang.

Sejak kebuntuan kes menteri besar Selangor, para pemimpin dalam Jawatankuasa PAS Pusat banyak berbeza pendapat dengan Hadi.

Ia bermula apabila presiden parti Islam itu mengumumkan sokongan kepada Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor, selepas PKR dan DAP memutuskan menyingkir Khalid dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada waktu itu, sokongan yang dibuat Hadi terhadap Khalid sebelum mesyuarat yang dijadualkan pada 17 Ogos mengejutkan ramai pemimpin PAS.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar kemudiannya berkata, ia adalah pandangan peribadi Hadi kerana keputusan rasmi belum dibuat.

Ekoran itu, para penyokong Hadi terus menerus menyerang mereka dan memomokkan mereka sebagai tidak wala' dan taat kepada presiden sehinggalah ke muktamar tiga hari yang berlangsung di Batu Pahat, Johor.

Dalam muktamar kali ini, sekurang-kurangnya tiga kejadian besar menjadi bukti perkara ini.

Pertama, peristiwa 50 perwakilan Pemuda PAS yang memakai jaket "Kami sokong presiden dan Majlis Syura" meninggalkan dewan ketika Mat Sabu memulakan ucapan perasmian muktamar sayap itu.

Kedua, perwakilan Wilayah Persekutuan Dr Azhar Yaakub berdoa sambil melaknat mereka yang tidak wala' dan tidak taat kepada Hadi.

Ketiga, ketika Pengerusi Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS (Luham), Mohamed Hanipa Maidin berkata PAS perlu menolak jika dilantik sebagai menteri besar Selangor, beliau dicemuh dengan seruan "boo" oleh pengikut fanatik Hadi.

Sesuatu yang di luar dugaan apabila beliau dicemuh kerana yang diperkatakannya ialah keputusan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Ketiga-tiga peristiwa ini menjadi titik hitam dalam muktamar itu.

Ke mana hala tuju PAS selepas ini?

Ramai berpendapat cara Hadi memberi ucapan penutup di muktamar itu menunjukkan PAS sedang merancang satu tindakan yang lebih besar dalam hubungannya dengan Pakatan Rakyat selepas ini.

Namun, mereka tidak mahu membuat demikian dalam muktamar.

Ini dibayangkan melalui ucapan penutup beliau dan ucapan Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din semasa merasmikan Muktamar Dewan Ulama.

Haron ketika itu berkata tahaluf siyasi dengan Pakatan ada syaratnya. Jika syarat itu dilanggar, ia perlu dikaji semula.

Namun, ketika muktamar panas pada hari kedua sidang, Haron bangkit dan memberi arahan agar tidak dibincangkan lagi soal perbezaan antara presiden dengan pucuk pimpinan PAS yang lain.

"Tindakan besar mahu diambil tetapi tidak mahu dibincangkan dalam muktamar.

"Sebab itu semua usul berkaitan dengan kedudukan PAS dalam Pakatan dan isu menteri besar Selangor tidak dibahaskan," kata seorang pemimpin PAS yang tidak mahu dinamakan.

Persoalannya kini, apakah ahli parti yang tergolong dalam kumpulan liberal dan progresif, dan tidak bersetuju dengan Hadi akan terus wala' dan taat kepada beliau?

Kumpulan yang fanatik ulama jelas mengambil sikap 'mahu membunuh' semua yang berbeza pendapat dengan mereka. Ini diperlihatkan melalui laman Facebook El-Haraki, yang digunakan sepenuhnya untuk menyerang lawannya dalam PAS.

Sebab itulah apabila timbul sahaja isu PasMa, El-Haraki membariskan semua yang dianggap berbeza pendapat dengan Hadi, memegang jawatan dalam NGO baru yang dituduh berhasrat menubuhkan parti politik baru ini.

Kini semua menunggu dengan penuh debaran, apakah sikap yang akan diambil oleh mereka? Berdiam diri dengan wala' dan taat sehingga mereka 'dipenggal' dalam muktamar tahun depan atau bertindak dari sekarang?

Semua mata tertumpu kepada kumpulan yang dilabelkan sebagai Erdogan, progresif atau profesional ini. – 21 September, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/ke-mana-hala-tuju-ahli-progresif-dalam-pas#sthash.J2eX7U0c.dpuf
0 Komentar untuk "Ke mana hala tuju ahli progresif dalam PAS?"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI