PAS tangguh mesyuarat bawa lebih mudarat, kata penganalisis - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

PAS tangguh mesyuarat bawa lebih mudarat, kata penganalisis

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata masa seminggu yang ditangguhkan PAS untuk membincangkan nasib Tan Sri Khalid Ibrahim akan lebih memudaratkan Pakatan Rakyat (PR). – Gambar fail, 9 Ogos, 2014.
Keputusan PAS menangguhkan mesyuarat membincangkan nasib Tan Sri Khalid Ibrahim hanya satu taktik mendapatkan lebih sokongan untuk menteri besar Selangor itu, bagaimanapun ia mungkin hanya merugikan pakatan pembangkang, kata penganalisis.

Kata mereka, taktik itu akan lebih memudaratkan Pakatan Rakyat (PR) yang sedang berhadapan kemungkinan berpecah akibat sokongan pimpinan PAS untuk menteri besar dua penggal itu.

Penganalisis politik Khoo Kay Peng berkata masa seminggu yang ditangguhkan itu akan lebih memudaratkan Pakatan kerana apabila isu ini dipanjangkan, ia hanya menambah lagi keretakan yang wujud dalam PR.



"Sudah tentu ia lebih memudaratkan. Kalau mereka tidak buat keputusan secepat mungkin, akan buka lebih ruang untuk kegiatan melobi.
“Semua orang akan membuat lebih banyak kenyataan. Dan akan menjadi sangat susah untuk ditarik balik,” katanya kepada The Malaysian Insider.

PAS semalam menangguhkan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusatnya ke 17 Ogos, seminggu selepas tarikh asalnya, untuk membuat keputusan berkenaan cadangan PKR menggantikan Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar (MB) Selangor.

"Kenapa hendak tangguh? Saya pasti ini bukan kerana mereka tidak boleh mencapai keputusan. Besar kemungkinan mereka hanya hendak pastikan ada sokongan untuk Khalid,” kata Khoo.

Pengarah Eksekutif Merdeka Center Ibrahim Suffian setuju yang kumpulan pro-Khalid dalam PAS akan menggunakan lebihan masa ini untuk melobi pandangan mereka di kalangan ahli parti.

"Itu sudah pasti. Mereka yang menyokong Khalid boleh gunakan waktu ini untuk mengumpul lebih ramai suara menyokong pandangan mereka,” katanya.

Ulama PAS, diketuai Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Dr Haron Din, mengumumkan Majlis Syura Ulama mahu Khalid dikekalkan sebagai MB, manakala kumpulan yang lebih progresif dalam parti Islam itu mahu beliau disingkirkan.

Sokongan terbuka presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk Khalid membentuk jurang lebih besar dengan PKR, yang bertegas PR sepakat kerusi ketua negeri Selangor itu ialah untuk PKR.

Memanjangkan isu itu hanya memudaratkan kedua-dua Pakatan dan PAS, kata penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Dr Jayum Jawan.

Katanya penangguhan itu membawa maksud PAS mengalami masalah dalaman disebabkan perbezaan pendapat tentang isu itu.

"Setengah merasakan PAS patut tinggalkan PR, setengah rasa mereka patut ada suara yang lebih besar dalam hal ini (isu MB Selangor). Ini membuktikan memang ada perpecahan dalam PAS sendiri,” beliau berkata kepada The Malaysian Insider.

"Pimpinan parti jelas menentang sepakatan yang dicapai rakan mereka dalam PR. Tanpa sebarang keperluan, mereka menangguhkan isu itu kerana mereka tidak mahu berdepan dengannya.”

Krisis MB itu, katanya, meletakkan PR dalam keadaan negatif pada pandangan pengundi Selangor, dan negeri lain, kerana ia menunjukkan Pakatan tidak boleh memerintah dengan baik.

"Selangor kecil sahaja. Kalau di sini pun mereka tidak boleh sepakat, bagaimana mereka hendak menangani isu Putrajaya?" katanya.

Bagaimanapun, Ibrahim berkata masa seminggu yang diperuntukkan itu mungkin boleh membantu PR kerana ia akan mewujudkan satu ketenangan dalam PAS untuk mencapai satu keputusan.

“Saya rasa isu ini berlaku pada kadar yang sangat ‘hectic.’ Dengan memperuntukkan lebih masa, suara yang lebih tenang akan timbul dan keputusan yang lebih baik boleh dicapai," kata pengkaji bebas itu.

Penilaian awal Merdeka Centre tentang keadaan di Selangor menunjukkan sekiranya pilihan nraya mengejut diadakan, ia tidak akan memihak kepada PR.

“Jadi, masanya sudah tiba untuk presiden PAS menunjukkan kepimpinan dan komitmennya kepada PR. Beliau mesti menjadi seorang ketua, bukan seorang ahli politik dalam kes ini.

“Krisis ini ujian litmus untuk PAS melihat sejauh mana ia berupaya menangani masalah negara. Kalau PAS berhasrat untuk menjadi parti yang bertaraf nasional, ia kena membuat keputusan yang lebih melambangkan Malaysia,” katanya lagi. – 9 Ogos, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pas-tangguh-mesyuarat-bawa-lebih-mudarat-kata-penganalisis#sthash.zY8udUD1.dpuf
0 Komentar untuk "PAS tangguh mesyuarat bawa lebih mudarat, kata penganalisis "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI