Isu MB: Khalid berdepan risiko dipecat parti, kata sumber dalaman PKR - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Isu MB: Khalid berdepan risiko dipecat parti, kata sumber dalaman PKR

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berdepan risiko dipecat daripada parti kerana enggan menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadapnya. Gambar fail The Malaysian Insider.
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim besar kemungkinan akan dipecat daripada PKR, menjadikan beliau tidak boleh kekal sebagai menteri besar Selangor, kata satu sumber dalaman parti.

Beliau memberitahu The Malaysian Insider lembaga disiplin akan menyiasat dakwaan terhadap MB penggal kedua itu dan mencadangkan keputusan dan hukuman yang sesuai kepada Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

"Melihat kepada senario ini, Khalid besar kemungkinan akan dipecat daripada parti kerana tidak mematuhi arahan parti.

"Dia masih akan tetap menjadi menteri besar, tetapi sebagai Adun bebas. Ia akan menyebabkan kerosakan imej kepada PAS jika beliau diterima di kalangan mereka," kata sumber itu berhubung isu yang menyelubungi Adun Pelabuhan Klang dan ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu.
Sumber berkata, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution akan memaklumkan kepada Khalid mengenai keputusan jawatankuasa itu dan dia boleh merayu keputusan dan hukuman itu (kepada MPP).

Katanya, menjadi persefahaman selama ini sesuatu pihak dalam PR tidak akan mengambil ahli yang dipecat daripada parti lain dalam pakatan itu.

PKR, PAS dan DAP melalui pergabungan berkuasa di negeri paling kaya di Malaysia sejak Pilihan Raya Umum 2008.

PKR bertindak selepas kedegilan Khalid semalam untuk menerima surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong.

Khalid, yang ditekan agar meletak jawatan sebagai menteri besar untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempersoalkan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti kepadanya pada hari Selasa.

Khalid berkata, notis itu "cacat" kerana tidak mempunyai tuduhan khusus untuk dia membalasnya walaupun Naib Presiden PKR N Surendran berkata surat tunjuk sebab itu mempersoalkan alasan menteri besar itu terhadap arahan parti.

MB penggal kedua itu menerima surat tunjuk sebab daripada PKR kerana ingkar terhadap keputusan parti itu untuk menggantikan beliau dengan Dr Wan Azizah bagi mengisi jawatan tertinggi kerajaan di Selangor itu.

Dalam jawapan tiga muka surat kepada Dr Tan, menteri besar Selangor itu berkata, surat tunjuk sebab itu tidak mempunyai bukti yang khusus untuk beliau jawab.

"Apabila suatu notis dikeluarkan, notis itu perlu menyatakan dengan jelas dan khusus tuduhan terhadap saya dengan menyatakan fasal yang relevan sebagaimana yang ditetapkan dalam perlembagaan parti, termasuk fasal hukuman yang boleh diambil terhadap saya.

"Perkara khusus seperti ini perlu disenaraikan tetapi malangnya notis bertarikh 5 Ogos itu rosak tanpa apa-apa bukti yang berkaitan untuk saya menjawabnya," katanya.

Walaupun DAP menyokong penyingkiran Khalid, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Khalid boleh kekal sebagai MB kerana beliau tidak mengkhianati amanah rakyat.

Bagaimanapun, parti itu masih belum membuat keputusan dan jawatankuasa kerja PAS pusat akan bermesyuarat pada 10 Ogos untuk menentukan keputusannya.

PKR, yang kini bertelagah dengan PAS mengenai isu pelantikan MB baharu, mengambil sikap ketua kerajaan Selangor perlu datang daripada parti itu.

Peguam Syahredzan Johan berkata pilihan Khalid adalah terhad jika dia dipecat daripada parti kerana Akta Pertubuhan menghalang mahkamah untuk masuk campur dalam perkara disiplin parti.

"Dia tidak boleh pergi di luar parti itu untuk mendapatkan keadilan berikutan pindaan kepada undang-undang 25 tahun lalu selepas Umno diisytiharkan haram pada 1988," katanya.

Dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab, Khalid berkata beliau kecewa dengan kepimpinan parti sejak "Langkah Kajang" yang dia dakwa tidak adil kepadanya.

Beliau berkata, "Langkah Kajang" adalah "arahan" kepadanya tanpa memberi pertimbangan yang wajar kepadanya yang bertanggungjawab sebagai menteri besar Selangor.

Khalid menghadapi tekanan daripada kepimpinan PKR untuk meletak jawatan berikutan cara beliau mengendalikan hal ehwal Selangor.

Ini termasuk pengurusan sumber air, Lebuhraya Kidex dan rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor. – 7 Ogos 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/isu-mb-khalid-berdepan-risiko-dipecat-parti-kata-sumber-dalaman-pkr#sthash.2IBB9vbe.dpuf
0 Komentar untuk "Isu MB: Khalid berdepan risiko dipecat parti, kata sumber dalaman PKR "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI