SHAH ALAM - Pemangku Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan langkah politik parti itu memang sukar dijangka oleh parti lawan.

Menurutnya, PKR mempunyai kelebihan dasar kukuh yang telah merentasi kaum dan agama.

"Parti ini sudah mempunyai dasar yang merentasi kaum, agama dan budaya. Kita bukan parti yang bersifat stereotaip yang langkah politiknya mudah dijangka lawan.

"Langkah politik kita sentiasa langkah yang tidak dapat dijangka. Kalau berdepan dengan Pas dan DAP, BN mudah sangat tangani," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR, hari ini.

Dakwanya, BN mengetahui dengan jelas isu apa yang boleh menggoncang hubungan antara Pas dan DAP.

"BN tahu isu apa yang boleh menggoncang hubungan dua parti ini. Tapi dengan kita, langkah yang sangat tidak pernah dijangka.

"Ini kelebihan kita. Sebab itu kekuatan parti saya sentiasa percaya pada perjuangan akar umbi," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau mengingatkan generasi yang baru menyertai parti itu agar mengenang kembali zaman kesusahan generasi lama membangunkan parti berkenaan.

"Kepada generasi yang baru menyertai parti, kenang zaman susah ketika mahu memulakan dan meletakkan asas perjuangan. Insya-ALLAH kita akan ada rasa tawaduq," katanya.