Seorang remaja OKU berusia 15 tahun yang dijumpai dalam keadaan yang amat daif, ditinggalkan bersendirian bersama sampah sarap dan najis yang bertaburan di dalam sebuah bilik rumah flat di Nilai, kelmarin.
Apabila berlaku perkara yang tidak diingini yang melibatkan anak-anak, selalunya masyarakat akan terus menuding jari kepada ibunya. Jarang sekali diletakkan punca masalah kepada yang lain selain ibu kandung anak tersebut.
Pada pendapat saya, ia tidak sepatutnya begitu. Perlu juga ditanya, di mana ayahnya? Kenapa ibu tersebut yang perlu memgambil tanggungjawab 100% untuk menjaga dan menyara kehidupan anak itu? Kalau pun dah bercerai, bukankah tanggungan nafkah anak itu masih terletak ke atas bahu ayah kandungnya sehingga anak itu boleh berdikari menanggung diri sendiri?
Pihak seterusnya yang berwajib juga adalah wali kepada wanita tersebut. Di mana keluarga besarnya yang seharusnya menjadi ‘support system’ kepada mereka sekeluarga? Di mana datuk-datuk dan nenek-nenek serta pakcik makcik adik Firdaus ini? Sudah tidak ada langsungkah keluarga adik Firdaus ini selain daripada ibu dan adik kandungnya yang baru berusia 7 tahun?
Selain itu, harus ditanya juga di mana pula jiran-jiran keluarga ini? Memang tidak ada langsung yang tinggal berdekatan dengan keluarga ini atau masyarakat kita pada hari ini sudah ketandusan nilai-nilai hidup berjiran dan bermasyarakat? Adakah masing-masing cuma buat hal sendiri dan tak ambil peduli perihal orang lain di sekeliling?
Tujuan saya menulis ini bukanlah untuk menuding jari kepada orang lain mahupun mempertahankan kesalahan ibu kepada adik Firdaus ini. Tujuan saya menulis ini hanyalah untuk mengingatkan bahawa setiap orang ada sumbangan dan peranannya dalam membentuk kesejahteraan sesebuah institusi keluarga yang akhirnya membentuk keseluruhan masyarakat. Sebagaimana peringatan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w.:
“Kamu semua adalah pemimpin dan setiap kamu kelak akan ditanya tentang kepimpinan, ketua adalah pemimpin, kaum lelaki pemimpin kepada ahli keluarganya, kaum wanita adalah pemimpin dan penjaga rumahtangga suami dan anaknya, oleh itu setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinannya.”
Dan firman Allah s.w.t.:
“…dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (An-nisaa’: 36)
Nurul Akmar Ramli
Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM)
ISMA Pusat
Biro Keluarga dan Masyarakat (BKM)
ISMA Pusat
0 Komentar untuk "Di manakah ‘support system’ keluarga besar adik Firdaus?"