Bapa tidak berhak halang anak perempuan buktikan dirinya Hindu, kata peguam Syariah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bapa tidak berhak halang anak perempuan buktikan dirinya Hindu, kata peguam Syariah


Pengawal keselamatan, Abdul Majid Gulam Kader tidak berhak menghalang jika anak perempuannya Zarinah dapat membuktikan dia tidak mengamalkan ajaran Islam, kata peguam syariah.

Mereka berkata, Zarinah yang ditahan pihak berkuasa Islam di majlis perkahwinan tradisional Hindunya di kuil minggu lalu bukan seorang yang bawah umur, oleh itu Mahkamah Syariah akan memberi pertimbangan kepadanya.

Selain itu, mereka berkata Majid meninggalkan keluarga, dan ini mencerminkan imej buruk seorang bapa sebagai ketua keluarga Islam.



Para peguam berkata demikian ketika mengulas temuramah Majid dalam sebuah akhbar harian yang berkata beliau tidak akan membenarkan anak perempuannya keluar daripada Islam.
Majid berkata, Zarinah serta tiga adik-beradiknya adalah Islam kerana dia dan isterinya beragama Islam semasa mereka dilahirkan.

"Mereka dilahirkan oleh ibu bapa Islam dan ia menjadikan mereka Islam juga," kata Majid sebagaimana yang dipetik daripada The Star.

Beliau berkata, tidak akan menandatangani sebarang dokumen yang diperlukan untuk anak-anaknya, Zarinah, 32; Shahull Salleh, 30; Zaleha, 28; dan Abdul Gulam, 24, untuk menukar nama mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata, Mahkamah Syariah pernah mengeluarkan sijil untuk memudahkan perubahan nama dan penyingkiran perkataan "Islam" pada kad pengenalan sebaik sahaja yakin pemohon tidak mengamalkan ajaran Islam.

"Zarinah hanya perlu membuktikan beliau mempraktikkan kepercayaan, budaya dan tradisi  Hindu," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menerusi maklumat daripada media, beliau berkata Zarinah hanya menggunakan nama Islam tetapi tidak mengamalkan ajarannya.

"Bapanya tidak berhak datang ke mahkamah untuk membantah atau menjadi penghalang dengan tidak menandatangani apa-apa dokumen," katanya.

Shukor berkata, Akta Penjagaan Bayi 1961 yang digunakan untuk orang Islam dan bukan Islam menyatakan ibu bapa hanya boleh membuat keputusan untuk anak-anak sehingga mereka berumur 18 tahun.

Seorang lagi peguam, Kamar Ainiah Kamaruzaman berkata, Mahkamah Syariah hanya mahu mengesahkan dakwaan beliau bukan seorang Islam.

"Soal dia keluar daripada agamanya tidak timbul kerana dia tidak mengamalkan ajaran Islam," katanya.

Kamar Ainiah berkata, bapanya membuang keluarga apabila meninggalkan rumah kira-kira 15 tahun lalu.

"Sebagai ketua keluarga, kenapa beliau meninggalkan mereka apabila harus berada di sana untuk memberi bimbingan agama," katanya.

Kamar Ainiah berkata, kenyataan daripada ibu dan adik-beradik Zarinah lebih kuat bagi mahkamah membuat kesimpulan.

Majid menafikan dakwaan Zarinah ibu bapanya beragama Hindu apabila mereka berkahwin pada 1980 dan bapanya memeluk Islam denga bantuan saudara rapat, manakala ibunya kekal Hindu.

Beliau memberitahu media, bapanya membawanya dan ibu Zarinah, Vasantha ke pertubuhan bukan kerajaan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) untuk mengislamkannya dan mengahwinkan mereka pada 1979.

Bagaimanapun, Zarinah memberitahu The Malaysian Insider, ayahnya meninggalkan rumah selepas kelahiran abangnya pada 1990, dan ibunya tidak sedar mereka beragama Islam kerana buta huruf.

Tetapi Majid memberitahu The Star, beliau dihalau dari rumah keluarga pada tahun 2000 selepas menegur anak perempuannya kerana pulang lewat.

Pegawai Jais pada Ahad lalu menganggu perkahwinan di Petaling Jaya selepas menerima laporan pengantin perempuan, Zarinah, disyaki seorang Islam.

Berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Syariah perlu mengeluarkan sijil kelulusan untuk Zarinah bagi membuang perkataan "Islam" daripada kad pengenalan dan mendaftarkan perkahwinan sivilnya secara sah mengikut undang-undang. – 9 Jun, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/bapa-tidak-berhak-halang-anak-perempuan-buktikan-dirinya-seorang-hindu-kata#sthash.UrRllAtl.dpuf

0 Komentar untuk "Bapa tidak berhak halang anak perempuan buktikan dirinya Hindu, kata peguam Syariah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI