KUALA LUMPUR - Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) telah menyerahkan draf pertama Rang Undang-undang Keharmonian Nasional kepada kabinet minggu lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Bagaimanapun, beliau berkata rang undang-undang itu yang akan menggantikan Akta Hasutan 1948 masih lagi dalam peringkat perbincangan dan memerlukan lebih masa untuk dikaji.
"Rang Undang-Undang ini perlu diperhalusi dan diteliti secukupnya agar adil dan saksama untuk setiap lapisan rakyat.
"Kita ingin memastikan rakyat di Malaysia bersatu padu kerana rakyat di negara ini berbilang agama dan bangsa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bernama hari ini.
Jelasnya lagi, pihaknya sedang mengkaji dengan melihat dan mengambil beberapa contoh pelaksanaan undang-undang itu di negara luar seperti Singapuradan United Kingdom.
"Jumlah dan bilangan penduduk di negara kita dan Singapura jauh berbeza namun kita ambil mana yang baik untuk dijadikan contoh," katanya.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata sesiapa sahaja berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat pengeluar coklat Cadbury kerana isu halal adalah berkaitan dengan agama.
Beliau berkata bagaimanapun individu yang berniat untuk mengambil tindakan terhadap Cadbury Confectionery (M) Sdn Bhd itu terlebih dahulu perlu adanya pemahaman yang lebih jelas terhadap isu tersebut.
"Dari segi keagamaan itu perlu dibincangkan lagi...sama ada ianya menggunakan undang-undang dari segi syariah ataupun undang-undang sivil," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat itu susulan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia menggantung sijil pengesahan halal dua produk coklat Cadbury iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam setelah Kementerian Kesihatan mengesan terdapat DNA khinzir pada produk itu pada Sabtu lalu.
Terdahulu, Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Mikhail Raj Abdullah menyampaikan taklimat tentang operasi Bernama kepada Nancy, diikuti lawatan ke bilik berita Jabatan Pengarang, BernamaTV dan Radio24 Bernama. - Bernama