MELIHAT jiran membeli dua balang yang teramat sangat besar untuk menakung air menimbulkan persoalan di minda saya mengenai keberkesanan langkah kerajaan Selangor untuk mencatu air.

Apa fungsi sebenar catuan air? Ia tidak lain, tidak bukan adalah untuk mengurangkan penggunaan air sementara menunggu tahap air di empangan pulih.

Akan tetapi, pengumuman catuan air menimbulkan rasa panik di kalangan masyarakat, terutamanya keluarga di mana suami dan isteri bekerja sepenuh masa di Lembah Klang.

Golongan ini tidak mahu apabila mereka pulang ke rumah, dalam keletihan dan stres mengharungi kesesakan lalu lintas, setibanya di rumah, mereka terpaksa berdepan dengan masalah air untuk mandi, minum, kegunaan anak-anak dan sebagainya.

Oleh itu, keluarga yang sedemikian menyediakan dua balang besar untuk menakung air. Masalahnya, jumlah air yang ditakung melebihi jumlah air yang diperlukan pada hari-hari biasa.

Keluarga ini yang biasanya tidak perlu membayar bil air kerana dasar 20 meter padu air percuma yang diberikan kerajaan negeri Selangor kini perlu membayar bil air kerana penggunaan mereka pada bulan catuan air jauh melebihi 20 meter padu.

Mereka menyimpan lebih banyak air daripada jumlah air yang diperlukan pada hari biasa gara-gara kerana mereka panik dengan keadaan tiada air yang dikhuatiri berterusan.

Oleh sebab itu, reaksi panik rakyat terhadap langkah catuan air menyebabkan langkah tidak seberapa berkesan untuk mengurangkan penggunaan air.

Meskipun demikian, dari segi kos, rakyat tidak akan merungut banyak kerana mereka sanggup membayar lebih untuk menakung air berlebihan bagi kesenangan di hari-hari kekeringan.

Apabila tahap air di empangan pulih nanti, segalanya akan kembali seperti biasa dan rakyat terus menikmati air pada kadar yang sama.

Bagi kerajaan Selangor pula, ia hanya berisiko menghadapi rungutan rakyat sekiranya tahap air di empangan terus meruncing dan kaedah catuan air yang dilakukan tidak sekata.

Sudah timbul cakap-cakap di kedai kopi, ada kawasan yang bernasib baik tidak dikenakan catuan air kerana “ada orang kaya besar menghuni atau sedang berniaga di kawasan tersebut”.

Cakap-cakap sebegini tidak harus dipandang ringan kerajaan Selangor kerana di Malaysia, perkara yang diulang-ulang akan menjadi kenyataan yang dipercayai sahih dan benar jika tidak ditangani dari awal.

Mari kita melihat pula cadangan kerajaan Pulau Pinang untuk menaikkan tarif air untuk mengelakkan catuan air.

Konsepnya mudah, apabila air menjadi lebih mahal, rakyat akan belajar berjimat. Oleh kerana air terlalu murah, maka rakyat tidak tahu berjimat.

Dan di antara catuan air dan air yang lebih mahal, kerajaan Pulau Pinang percaya rakyat akan lebih suka pada keadaan di mana air ada secara berterusan walaupun sedikit mahal daripada catuan air.

Menaikkan tarif air dan catuan air, tujuannya adalah sama, iaitu untuk mengurangkan penggunaan air sehingga tahap air di empangan pulih.

Menaikkan tarif air pula bukan langkah yang terpilih kerana semua akan terkena, bukan seperti catuan air di mana ada kawasan yang digolongkan kawasan bernasib baik.

Jika langkah menaikkan tarif air berjaya mengajar rakyat berjimat, “pengajaran” ini adalah lebih kekal berbanding rakyat yang belajar menakung air lebih daripada cukup di kawasan catuan air.

Namun, persoalannya ialah apakah rakyat akan terasa mereka dihukum kerana musim kemarau?

Malaysia, semua negara yang mempunyai sumber air yang banyak, mengapa rakyat perlu membayar lebih untuk air.

Yang kelakarnya, hujah ini bunyinya sama seperti mereka yang ingin turunkan harga minyak.

Satu lagi perkara negatif mengenai langkah menaikkan tarif air untuk mengurangkan penurunan air di empangan ialah rakyat akan terus membayar air pada kadar yang lebih tinggi meskipun bekalan air di empangan pulih selepas ini.

Akhirnya, jika kenaikan tarif air menjadi SOP untuk mengawal pengurangan air di empangan di musim kemarau, apakah rakyat lebih suka mengharungi catuan air yang bermusim atau kenaikan tarif air yang berkekalan setiap kali air di empangan berkurangan?

Anda yang membaca tahu jawapannya.

http://www.sinarharian.com.my/karya/pendapat/nak-catuan-atau-kenaikan-tarif-air-1.269194