PASIR MAS - Pas dilihat berada dalam keadaan tertekan selepas Umno menyatakan kesediaan mereka untuk bermuzakarah berkaitan isu-isu melibatkan umat Islam, politik dan bangsa Melayu di negara ini.

Naib Ketua Umno bahagian, Saaudi Mohammad berkata, Pas tidak perlu tertekan apabila golongan agama Umno menawarkan kesediaan untuk bermuzakarah.

“Pas seharusnya melihat perkara ini dari sudut positif kerana ia bakal membawa keuntungan kepada umat Islam di negara ini.

“Seandainya Pas betul-betul ikhlas mahu membela agama Islam dan golongan Melayu mereka seharusnya menerima pelawaan itu dan bukannya terus berdolak-dalik dalam isu ini,” katanya.

Saaudi berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar parti itu baru-baru ini, menyatakan kesediaan mereka untuk bermuzakarah dengan Umno dalam usaha pelaksanaan pentadbiran berasaskan ajaran Islam di negara ini.

Kenyataan Abdul Hadi mendapat maklum balas positif Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang menjelaskan parti itu sedia bermuzakarah dengan Pas.

Saaudi berkata, ia bertujuan untuk berbincang dan bukannya berdebat bagi mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya menjadi platform untuk menyelesaikan isu berkaitan dengan umat Islam.

Beliau berkata, yang akan menentukan hasil intipati muzakarah itu ialah presiden parti,  jadi mereka tidak perlu risau.

Menurutnya, sudah tiba masanya Pas mengetepikan soal fahaman politik dan duduk semeja demi kepentingan agama Islam serta bersama-sama mencari titik persamaan yang membawa keuntungan kepada rakyat.
“Selain itu, golongan agama Umno turut bersedia bermuzakarah dengan gabungan pakatan pembangkang lain seperti Dap dan PKR demi kestabilan negara,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/politik/muzakarah-pas-dilihat-tertekan-1.226838