PETALING JAYA: Kontroversi pelakon Adi Putra yang didakwa mempunyai skandal dengan isteri orang langsung tidak membuatkan aktor itu berasa malu berhadapan dengan masyarakat sekeliling.
Adi, 32, berkata, dia akur, sebagai selebriti dia tidak perlu berasa takut berhadapan dengan sesiapa pun kerana tahu kebenaran sebenar.
"Sebagai manusia kita ada rasa segan dalam apa-apa situasi tetapi saya harus akur bahawa saya seorang artis, perlu lalui apa-apa situasi sekalipun.
"Begitu juga dengan perkara ini (isu skandal), saya perlu menempuh dugaan ini dan berhadapan dengan khalayak secara profesional," katanya.
Adi ditemui pada majlis pratonton filem KL Gangster 2 di TGV One Utama, di sini, pada malam Isnin.
Isterinya, Aida Yusof, 37, turut hadir pada majlis tersebut.
Pasa 5 September lalu, Adi dikatakan saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan seorang wanita yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan.
Adi dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu.
Suami kepada wanita itu mengesan hubungan mereka selepas dia terbaca SMS (khidmat pesanan ringkas) ketika berada di sebuah restoran makanan segera di Jalan Skudai-Pontian, awal Ogos lalu sehingga mendorongnya membuat laporan polis.
Sementara itu, Adi berkata, sejak kontroversi itu tercetus, isterinya pula terkena tempias apabila ada pihak di laman Twitter mengejek Aida kononnya dia masih tidak 'buka mata' dengan peristiwa itu.
"Setakat ini isteri sentiasa berada di sisi saya ketika susah dan senang. Orang kata rumah tangga kami goyah? Biarlah apa yang orang nak fikir," ujarnya.
Tambah Adi dia juga enggan menjelaskan perkara sebenar berhubung kontroversi itu kerana siasatan masih dijalankan.
"Jangan risau, bila semua sudah selesai, saya akan keluarkan kenyataan media," jelasnya.
0 Komentar untuk "Adi Putra Tidak Rasa Malu Kontroversi Skandal"