KUALA LUMPUR - Tindakan kerajaan negeri Pulau Pinang meminta filem 'Tanda Putera' tidak ditayangkan dilihat sebagai cubaan menutup sejarah negara, kata Presiden Persatuan Seniman Rozaidi Jamil.
  
Beliau berkata masyarakat khususnya generasi muda sepatutnya perlu disajikan dengan pengkisahan sejarah agar mereka lebih faham mengenai asal-usul negara dan bagaimana negara mencapai kemerdekaan.
  
"Kerajaan negeri tidak ada kuasa hendak halang pawagam menayangkan sesuatu filem, perkara itu terletak di bawah kuasa Finas, LPF dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
  
"Cerita itu (Tanda Putera) sangat bagus, apa yang diceritakan perlu diberitahu kepada generasi sekarang, jangan hakimi dari segi luaran, tonton dahulu," katanya kepada Bernama ketika ditemui dalam Majlis Mesra Hari Raya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.
  
Mengenai lagu 'Negaraku' yang dimainkan di pawagam sempena sambutan Kemerdekaan, Rozaidi atau dikenali sebagai Zed Zaidi menyokong dan menyambut baik langkah itu yang dilihat boleh menanam semangat patriotik dalam kalangan rakyat.

"Seniman juga ingin mencadangkan supaya setiap majlis anugerah seni dimestikan menyanyikan lagu 'Negaraku' sebelum acara bermula untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan penggiat seni," katanya.
  
Sementara itu, Zed Zaidi berkata beliau menawarkan diri bertanding untuk jawatan Exco Pemuda Umno bagi menarik golongan belia dan penggiat seni menyertai parti itu.
  
"Misi saya ialah saya ingin mengaktifkan kesemua 191 bahagian dan menggunakan artis sebagai penasihat di setiap bahagian untuk mendekatkan golongan artis kepada Umno," katanya.
  
Zed Zaidi yang juga Timbalan Pengerusi Biro Kebudayaan dan Kesenian Pemuda Umno berkata beliau ingin berjuang melalui parti bagi meningkatkan martabat dan membantu industri seni di negara ini. - Bernama