firefly
firefly
SYARIKAT penerbangan turboprop Firefly memperkenalkan enam kiosk daftar masuk layan diri baru di Terminal SkyPark, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dalam usaha menyediakan cara daftar masuk yang lebih mudah dan mesra pengguna.

Kiosk itu diperkenal bagi memudahkan proses di lapangan terbang dan untuk mengurangkan masalah yang selalu dikaitkan dengan proses daftar masuk sebelum penerbangan.

"Kami berhasrat untuk kurangkan kebanyakan gangguan yang berlaku semasa daftar masuk secara manual dan mengelakkan barisan panjang untuk daftar masuk di kaunter terutama pada waktu puncak.

"Sistem baru ini membolehkan pemeriksaan automatik bagi pas masuk yang telah dicetak. Penumpang yang tidak mempunyai bagasi kini tidak lagi perlu beratur di kaunter daftar masuk untuk pengesahan pas masuk mereka dan boleh terus ke kaunter imigresen," menurut Ketua Pegawai Eksekutif Firefly Ignatius Ong.

Pengurus Teknologi Maklumat Firefly Jimmy Tan berkata, pelancaran kiosk itu akan diikuti dengan kemudahan daftar masuk mudah alih bagi peranti seperti telefon pintar yang akan dibangunkan syarikat itu.

"Aplikasi daftar masuk mudah alih akan membolehkan penumpang untuk mencetak pas masuk mereka hanya dengan mengimbas telefon pintar mereka di kiosk," katanya.