SINGAPURA - Pakar ekonomi, Senator Profesor Datuk Dr. Ismail Salleh meninggal dunia akibat serangan jantung semasa dalam penerbangan pesawat Tiger Airways dari China ke Singapura awal pagi semalam.
Isteri Allahyarham, Datin Hasnah Wahab yang turut berada dalam penerbangan tambang murah itu menemani suaminya mendapati Ismail yang sedang tidur di kerusi sebelahnya tiba-tiba terlintuk kepalanya ke atas bahunya.
"Saya dapati suami saya sudah tidak bernyawa dan bila saya pegang, tangannya sudah sejuk," katanya kepada Bernama semasa ditemui di Masjid Ba'alwie di Jalan Lewis di sini sementara menunggu jenazah Ismail diuruskan.
Beliau memberitahu, suaminya meninggal dunia dalam kapal terbang kira-kira pukul 2.30 pagi iaitu kira-kira 75 minit sebelum pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi di Singapura.
Menurutnya, Ismail, 61, ke China kerana menghadiri satu mesyuarat mengenai urusan universitinya, International University College of Technology Twintech.
Mereka bertolak dua hari lepas (25 Ogos) dan pulang malam keesokannya (26 Ogos) dan dijadual tiba di Singapura pada pukul 3.45 pagi semalam.
Sebaik tiba di sini, jenazah Ismail dibawa ke Hospital Besar Singapura kira-kira pukul 8 pagi untuk dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
Jenazah Ismail kemudian dibawa ke Masjid Ba'alwie untuk dimandi dan dikafankan. Kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi, Datuk Ahmad Anuar Adnan membantu menguruskan jenazah Ismail.
0 Komentar untuk "Dr. Ismail mati dalam pesawat"