BATU PAHAT 14 Ogos - Sokongan terhadap Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melabelkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat bangsa semakin memuncak apabila lebih 2,000 orang melaungkan perkataan sama di Dataran Penggaram, Padang Merdeka dekat sini hari ini.
Dalam perhimpunan yang berlangsung secara aman itu, mereka turut melaungkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai pemimpin putar belit.
Perhimpunan anjuran UMNO Bahagian Kulai, Batu Pahat dan Sri Gading itu berlangsung selama sejam bermula pukul 5 petang.
Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Adam Hamid, Dr. Puad Zarkashi dan Datuk Mohamed Aziz turut menyampaikan ucapan pada perhimpunan yang mengulangi sejarah 63 tahun lalu apabila pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar mengumpulkan orang Melayu untuk membawa sepanduk menentang Malayan Union di tempat yang sama.
Puad yang juga ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam ucapannya berkata, sikap Anwar yang masih tergila-gilakan jawatan Perdana Menteri menjadi punca penghinaan kepada kedudukan raja Melayu oleh pihak tertentu pada hari ini.
Beliau turut mempersoalkan Anwar yang menafikan label pengkhianat bangsa itu dan mahu menyaman Timbalan Perdana Menteri sebanyak RM100 juta kerana tindak-tanduknya yang tidak berani menegur rakan-rakannya apabila raja-raja Melayu dipermainkan.
"Cabaran besar yang dihadapi hari ini ialah apabila wujudnya orang Melayu yang lupa daratan selepas mendapat nikmat hasil daripada perjuangan UMNO dan diperalatkan oleh pihak lain.
"Namun UMNO akan terus mempertahankan agama dan bangsa walaupun sikap Anwar itu telah menyebabkan orang Melayu dan Islam dihina," katanya.
Mohamed pula menyifatkan Anwar sebagai pemimpin dayus apabila mahu menyaman Muhyiddin yang melabelkannya sebagai pengkhianat bangsa.
"Baru Timbalan Perdana Menteri cakap pengkhianat sudah hendak saman RM100 juta. Anwar pengkhianat bangsa kerana hina kedaulatan bangsa," katanya.
Sementara itu, Adam berharap masyarakat dapat menilai sikap Anwar yang penuh sandiwara.
"Jangan bagi Anwar berkuasa kerana fakta menunjukkan dia menggalakkan demonstrasi jalanan untuk menggambarkan Malaysia tidak selamat dan menyebabkan peniaga Melayu terjejas.
"Kita tengok di Perak apabila sesama Melayu bertelagah, orang lain seronok bertepuk tangan," katanya.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kulai, Ali Mazat yang turut menyampaikan ucapan menasihatkan ahli UMNO khususnya golongan pemuda agar berhati-hati dengan tindakan Anwar yang kini cuba mencari pengaruh di negeri itu.
p/s apa la Utusan ni , tak nampak ker 200 ribu org tu
0 Komentar untuk "200,000 laungkan Anwar pengkhianat"