SUKAN : SELASA 07 JULAI 2009 - UPB-MyTeam tak boleh tarik diri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

SUKAN : SELASA 07 JULAI 2009 - UPB-MyTeam tak boleh tarik diri

UPB-MyTeam tak boleh tarik diri

PETALING JAYA - Pasukan UPB-MyTeam, yang kini berhadapan dengan masalah kewangan, tidak dibenarkan menarik diri daripada saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung September ini dan bakal berhadapan dengan tindakan sekiranya meneruskan hasrat tersebut.

Permohonan UPB-MyTeam untuk menarik diri ditolak dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) yang berlangsung semalam.

Pengerusi JKPT, Datuk Che Mat Jusoh berkata, mesyuarat itu memutuskan bahawa pasukan berstatus kelab itu perlu meneruskan saingan di dalam Piala Malaysia.

"Sekiranya ia gagal dipatuhi, pemain dan pegawai boleh dikenakan denda dan tindakan gantung selain boleh menyebabkan pasukan UPB-MyTeam terpaksa bermula dari bawah di dalam saingan Piala FAM sekiranya ingin kembali bermain di dalam Liga Malaysia," katanya yang juga Naib Presiden FAM, kepada pemberita di Wisma FAM di sini semalam.

Che Mat berkata, FAM seboleh-bolehnya tidak mahu hukuman dikenakan kepada pasukan yang bertanding di dalam Liga Malaysia.

"Jadi kita minta UPB-MyTeam memikirkan kembali hasrat mereka itu kerana Liga Super hanya mempunyai baki tiga perlawanan sahaja lagi manakala Piala Malaysia akan melibatkan sekurang-kurangnya enam perlawanan sahaja di peringkat kumpulan," katanya.

UPB-MyTeam, pasukan yang diilhamkan daripada program realiti TV, telah menghantar permohonan rasmi kepada FAM untuk menarik diri daripada saingan Piala Malaysia bulan lepas selain turut melelong pemain-pemainnya berikutan masalah kewangan.

UPB-MyTeam kini berada di tangga ke-11 daripada 14 pasukan yang bertanding di dalam Liga Super dengan mengumpul 29 mata hasil daripada sembilan kemenangan dan dua keputusan seri, manakala 12 perlawanan lagi mereka tewas.

Che Mat berkata, sekiranya UPB-MyTeam kekal dengan keputusan mereka, FAM akan tetap menjalankan undian Piala Malaysia pada 15 Ogos ini dan akan memutuskan kemudian pasukan yang layak menggantikan kelab itu.

Mengulas titah Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang mahu Liga Malaysia dikaji semula, Che Mat berkata, satu sesi perbincangan akan diadakan pada 28 Julai ini membabitkan semua setiausaha persatuan negeri dan kelab yang bersaing di dalam Liga Super, Liga Perdana dan Piala FAM.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan format baru akan diperkenalkan pada saingan musim 2010 jika ia dapat menyelesaikan masalah yang membelenggu kebanyakan pasukan.

"Kini 50 peratus daripada pasukan-pasukan bertanding mempunyai masalah kewangan, jika format baru dapat menyelesaikan masalah itu atau sekurang-kurangnya mengurangkannya, kita akan lakukan," katanya. - BERNAMA
0 Komentar untuk "SUKAN : SELASA 07 JULAI 2009 - UPB-MyTeam tak boleh tarik diri"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI