Oleh Hussain Said, Azizan Hashim, Asrol Awang,Bashah Zainol Abidin dan Rizar Mohd Noor
bhsukan@bharian.com.my
PEMAIN Selangor, Mohd Asraruddin Omar (kanan) berebut bola dengan pemain Kuala Muda Naza, Helmi Remeli pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. Selangor menang 4-1. |
SELANGOR terus mencengkam persada Liga Super selepas bangkit daripada ketinggalan untuk merakam kemenangan 4-1 ke atas Kuala Muda Naza ketika juara bertahan, Kedah tunjuk taring apabila berpesta jaringan selepas membelasah Polis 7-2, malam tadi.
Ketika anak buah K Devan yang ketinggalan di Stadium Shah Alam selepas jaringan Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-23, Selangor mengharap ihsan gol sendiri pemain KM Naza, B Rajnikandh minit ke-55 untuk bangkit.
Selangor mempergunakan separuh masa kedua untuk mencatat kemenangan dan gol yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul pada minit ke-70 hasil jaringan Khairul Anuar Baharom disusuli jaringan Mohd Amri Yahyah (m-80) dan Amirul Hadi Zainal (m-88).
Kejayaan ini memastikan Selangor kekal di puncak liga dengan mengumpul 57 mata, manakala Perlis meraih 53 mata.
Di Stadium Darulaman, Kedah bertindak garang membelasah Polis tanpa ihsan menerusi hatrik Khyril Muhymeen minit ke-19,59, 85 dan masing-masing dua daripada Badrol Bakhtiar (m-15,53) dan Azrul Ahmad (m-29,60). Polis menyumbang dua gol menerusi Khairul Izuan (m-2) dan Eddy Gapil (m-23).
Di Stadium Perak, tuan rumah gagal memanfaatkan gol pendahuluan Mohd Shazuan Roslan minit ke-32 apabila membenarkan Nizarudin Omar menyamakan kedudukan minit ke-73, tiga minit selepas masing-masing seorang pemain Perak dan Perlis dibuang padang.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan turut mengganas apabila memastikan kemenangan bergaya menewaskan pasukan yang dilanda kemelut, UPB-MyTeam 6-2.
Skuad Wan Jamak Hassan yang minggu lalu diberi amaran selepas kecundang di tangan Johor FC, menjaringkan enam gol pada separuh masa pertama menerusi S Kunalan minit ke-5 dan 14; Mohd Zaquan Adha (m-8, penalti), m-21 dan Shahurain Abu Samah (m-22, m-38).
Gol MyTeam dijaringkan Norshahrul Idlan Talaha minit ke-18 sebelum pelawat menambah satu lagi jaringan pada separuh masa kedua hasil gerakan Azmi Muslim (m-74).
Sementara itu, Johor FC mengikat keputusan seri 1-1 dengan KL Plus di Stadium JCorp, Pasir Gudang ketika Pahang mengatasi Terengganu 2-1 manakala perlawanan Pulau Pinang dan Kelantan ditangguhkan akibat hujan pada kedudukan 1-1.
Selangor hampiri kejuaraan liga
|
|
KUALA LUMPUR - Selangor mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas KM Naza sekali gus semakin menghampiri kejuaraan Liga Super musim ini apabila pencabar terdekatnya Perlis keciciran mata setelah seri 1-1 dengan Perak, semalam.
Walaupun dikejutkan dengan jaringan pendahulu Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-23, anak buah K. Devan bangkit dalam babak kedua pada perlawanan di Stadium Shah Alam itu dengan permainan bertenaga dan memperoleh gol penyamaan akibat kesilapan pertahanan KM Naza, B. Rajnikand yang menjaringkan gol sendiri pada minit ke-55.
Seolah-olah menerima suntikan semangat, Selangor menguasai babak seterusnya dan meledak dengan tiga gol menerusi Hardi Jaafar (m-70), diikuti Amri Yahyah (m-81) dan Asrarruddin Putra Omar (m-90).
Malang buat pencabar tunggal Selangor, Perlis apabila terpaksa berkongsi mata setelah seri 1-1 dengan Perak di Stadium Perak, Ipoh.
Mohd. Sazwan Md. Roslan menjaringkan gol pendahulu tuan rumah sebelum penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin kembali memberi harapan kepada Perlis dengan jaringan penyamaan pada minit ke-73.
Perlawanan tegang menyaksikan pemain dari kedua-dua pasukan dibuang padang kerana bergaduh pada minit ke-70 iaitu pemain Perlis, Amar Rohidan dan pemain tuan rumah Mohd. Hafizuan Sallehuddin.
Kemenangan semalam membolehkan Selangor menjarakkan kelebihan kepada empat mata apabila meraih mata ke-57 manakala Perlis terpaksa berpuas hati dengan 53 mata ketika hanya tinggal baki dua perlawanan.
Di Stadium Darulaman, Alor Setar, Kedah berpesta gol 7-2 ke atas pasukan tercorot Polis.
Walaupun ketinggalan menerusi jaringan Khairul Izuan seawal minit kedua, Kedah bangkit menerusi Badrol Bakhtiar (m-15, m-53), Khyril Muhymeen (m-19, m-58) dan Azrul Ahmad (m-29, m-60) sebelum Eddy Gapil menjaringkan gol kedua Polis pada minit ke-23.
Jejak Kedah diikuti Negeri Sembilan yang turut mencatat kemenangan besar 6-2 ke atas UPB MyTeam di Stadium Tuanku Abd. Rahman, Paroi.
Negeri Sembilan mengamuk dengan enam gol di babak pertama menerusi Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (m-8, m-21), S. Subramaniam (m-5,m-14) dan Shahurain Abu Samah (m-22,m-38).
Pasukan pelawat cuba merapatkan kedudukan menerusi gol Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-15 dan Azmi Muslim minit ke-74 namun ia sudah terlambat.
Di Stadium Darul Makmur, Terengganu mencipta kemenangan ke-14 daripada 24 perlawanan apabila menundukkan pasukan kedua tercorot Pahang 2-1.
Mohd. Ashaari Shamsuddin muncul wira Terengganu apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-64 dan ke-76 sebelum Pahang cuba bangkit menerusi jaringan R. Surendran pada minit ke-83.
Sementara itu, Pulau Pinang seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium Bandaraya pada perlawanan yang lewat dimulakan akibat hujan.
0 Komentar untuk "KEPUTUSAN LIGA SUPER : RABU 08 JULAI 2009 - Selangor hampiri kejuaraan liga"