SUKAN : RABU 06 MEI 2009 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

SUKAN : RABU 06 MEI 2009

Selangor terus kejar Perlis

KUALA LUMPUR - Selangor terus memberi tekanan kepada Perlis dalam usaha memburu kejuaraan bola sepak Liga Super selepas membenam Pahang 2-1 di Stadium Darul Makmur, semalam.

Namun begitu, hajat juara Piala FA itu untuk merampas takhta lebih awal tidak kesampaian apabila Perlis turut mencatat kemenangan 3-1 ke atas pasukan tangga tercorot, Polis di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Perlis hanya mengatasi Selangor dengan kelebihan satu mata selepas mengumpul 32 mata daripada 14 perlawanan.

Bagi Pahang, kekalahan ini adalah permulaan buruk buat jurulatihnya, Dollah Salleh yang hanya membimbing skuad Tok Gajah dalam perlawanan pertama selepas menggantikan Tajuddin Nor.

Dalam perlawanan semalam, tuan rumah terlebih dulu membuka jaringan menerusi Muhamad Badrul Hisani Abdul Rahman pada minit ke-55, namun dua gol dalam tempoh empat minit yang dijaringkan Mohd. Amri Yahyah (65) dan Mohd. Fitri Shazwan Raduwan (69) memastikan Selangor membawa pulang tiga mata penuh.

Babak pertama agak hambar tanpa banyak percubaan dilakukan kedua-dua pasukan, namun Selangor nyaris mengejut tuan rumah menerusi rembatan kencang Rudie Ramli pada minit ke-18 tetapi jaringannya tidak dikira oleh pengadil, Syed Azhar Syed Kamar kerana ofsaid.

Pada minit ke-55, Selangor tersentak apabila rembatan kencang Badrul Hisani dari jarak 20 meter menerjah gawang.

Kegembiraan anak buah Dollah Salleh bagaimanapun tidak berpanjangan apabila kapten Selangor, Mohd. Amri meledakkan gol penyamaan pada minit ke-65 selepas menerima umpanan daripada Mohd. Fitri Shazwan Raduwan.

Gergasi Merah Kuning terus menghukum kealpaan pertahanan Pahang menerusi Mohd. Fitri Shazwan yang melakukan rembatan jarak dekat menewaskan Mohd. Remezy pada minit ke-69.

Sementara itu hujan lebat di Stadium Ismail Nasiruddin Shah memaksa perlawanan Terengganu dan Negeri Sembilan ditangguhkan hari ini.

Kedua-dua pasukan sedang terikat 1-1 ketika hujan lebat turun pada babak kedua dan memaksa perlawanan dihentikan. Terengganu dan Negeri Sembilan akan bermain 90 minit hari ini dan bermula daripada 0-0.

Dalam perlawanan di Stadium MBPJ, Perak mengalami kekalahan keenamnya musim ini apabila tunduk 2-1 di tangan UPB-MyTeam.




-----------------------------------------------------------------------------------

Singa Utara tunjuk garang di Paroi

Oleh Hussain Said, Hamid Salleh, Irwan Shafrizan Ismail
bhsukan@bharian.com.my


PEMAIN Perlis, Nizaruddin Yusof [kiri] dikawal pemain Polis di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

PERLIS kekal menguasai saingan Liga Super apabila menjinakkan Polis 3-1 ketika Selangor terus mengekori rapat manakala Negeri Sembilan terpaksa menunggu lagi selepas pertemuan dengan Terengganu ditunda akibat hujan lebat, malam tadi.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Ahmad Fikri Saraani membuka tirai jaringan untuk Perlis selepas dia memanfaatkan situasi kelam kabut di depan gol selepas sepakan sudut Azimi Azmi untuk menewaskan penjaga gol Polis, Abdul Rahman Ismail pada minit ke-19.

Namun Mohd Fauzi Abdul Majid menyamakan kedudukan buat tuan rumah apabila merembat bola minit pada ke-32 sebelum Perlis menambah jaringan menerusi Mohd Shazwan Zainol (m-54) dan walaupun Fikri dilayangkan kad merah pada minit ke-79, pelawat masih mampu merobek gawang lawan menerusi jaringan Zuraindey Jumai (m-81).

Di Stadium Darulmakmur, Pahang yang terdesak untuk keluar dari kelompok bawahan liga, mendapat gol pendahuluan pada minit ke-55 apabila Md Badrul Hisani Abdul Rahman merembat dari luar kotak penalti, namun kegembiraan tidak kekal lama apabila Amri Yahyah menyamakan kedudukan 10 minit selepas itu.

Mohd Fitri Shazwan Raduan yang dimasukkan menggantikan Mohd Asraruddin Omar, meletakkan pelawat di depan pada minit ke-69, bagi memastikan anak buah K Devan pulang dengan tiga mata berharga untuk terus menekan Perlis.

Di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, UPB-MyTeam menundukkan Perak 2-1 selepas bermula garang sejak sepak mula sebelum gol Depan Sakwati membolehkan tuan rumah mendahului pada minit ke-16 disusuli jaringan Zambri Chin pada minit ke-33.

Anak buah M Karathu, merapatkan kedudukan pada minit-45, apabila Razali Umar Kandasamy menemui kembali sentuhan jaringannya selepas tidak dapat diturunkan ketika Perak tewas kepada Pulau Pinang di Ipoh, Sabtu lalu.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, perlawanan antara Terengganu dan Negeri Sembilan terpaksa ditangguhkan malam ini akibat hujan lebat malam tadi,

Pengadil, Ahmad Bustaman Hamid terpaksa menghentikan perlawanan selepas 10 minit selepas babak kedua bermula ketika kedudukan terikat 1-1 hasil jaringan Mohd Shukor Adan pada minit-28 sebelum pemain Terengganu, Ashaari Shamsudin, menyamakan kedudukan dua minit kemudian.

0 Komentar untuk "SUKAN : RABU 06 MEI 2009"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI