SUKAN : KHAMIS 07 MEI 2009 - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

SUKAN : KHAMIS 07 MEI 2009

Pemain Selangor terima habuan


ABDUL Khalid Ibrahim (kanan) menyerahkan hadiah kemenangan yang dijanjikan kepada pemain Selangor dalam satu majlis di Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saibi


SHAH ALAM - Hampir setengah juta ringgit. Itu ganjaran keseluruhan diterima pemain dan pegawai skuad bola sepak Selangor, semalam atas kejayaan menjulang Piala FA dua minggu lalu.

Keseluruhannya pemain dan pegawai Persatuan Bola Selangor (FAS) menerima ganjaran sebanyak RM442,500 dengan pemain utama menerima RM15,000 seorang.

Pemain simpanan juga tidak terkecuali menerima ganjaran, namun ia berdasarkan kekerapan mereka beraksi untuk Selangor musim ini.

Menyifatkan ganjaran itu sebagai satu rahmat buat pemain Selangor, Setiausaha Agungnya, Hamidin Mohd. Amin berkata, ganjaran yang diterima berbaloi dengan kesungguhan pemain memenangi perlawanan akhir Piala FA menentang Kelantan tempoh hari.

Katanya, ganjaran yang diterima itu merupakan satu pengiktirafan di atas komitmen pemain yang memastikan trofi kedua musim ini selepas Piala Sultan Ahmad Shah berjaya dibawa balik.

Selangor merampas kembali Piala FA selepas menundukkan Kelantan 4-1 menerusi penentuan penalti pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 25 April lalu.

Menurutnya, ganjaran itu pastinya menyuntik semangat pemain untuk meneruskan kecemerlangan dan merangkul dua lagi piala iaitu Liga Super dan Piala Malaysia.

''Saya dimaklumkan bahawa ganjaran yang diterima oleh pemain hari ini adalah yang terbaik dan terbesar sebagai hadiah ganjaran untuk kejayaan menjulang Piala FA.

''Tidak syak lagi habuan yang diterima ini akan meningkatkan lagi semangat dan komitmen pemain untuk meneruskan kecemerlangan bagi memburu dua lagi trofi iaitu Liga Super dan Piala Malaysia.

''Kita harap Selangor dapat menjulang trofi tunggal yang belum pernah kita menangi iaitu Liga Super.

''Saya rasa inilah peluang terbaik Selangor untuk berbuat demikian,'' katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada pemain dan pegawai skuad bola sepak Selangor.

Ganjaran disampaikan oleh Menteri Besar Selangor yang juga Presiden FAS, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada majlis juga Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) diumum sebagai penaja skuad Selangor dengan jumlah tajaan RM6.5 juta.

Dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata: ''Saya sebagai Presiden FAS ingin melihat pencapaian cemerlang ini diteruskan kerana kita masih ada dua lagi piala untuk direbut iaitu Liga Super dan Piala Malaysia.''

Sementara itu, ketua pasukan, Amri Yahyah berkata, para pemain Selangor bertuah kerana menerima ganjaran sebanyak itu.

Tambahnya, wang yang diterima itu menambah azam dan semangat pemain untuk beraksi lebih baik.

''Saya bersyukur kerana kami menerima ganjaran yang saya sifatkan begitu berharga dan ganjaran ini menjadi motivasi untuk meraih kejuaraan lain musim ini,'' katanya.

0 Komentar untuk "SUKAN : KHAMIS 07 MEI 2009"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI