Pervez tarik balik darurat? -- Parti-parti pembangkang teruskan bantahan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pervez tarik balik darurat? -- Parti-parti pembangkang teruskan bantahan


"Undur Musharraf undur" adalah antara laungan amarah yang dibuat oleh para penunjuk perasaan sebagai bantahan perintah darurat. – Reuters.

ISLAMABAD 7 Nov. – Presiden Pakistan, Pervez Musharraf dijangka menarik balik perintah darurat dalam masa dua hingga tiga minggu lagi. Parti-parti pembangkang bagaimanapun berikrar untuk meneruskan protes bagi membantah langkah yang mencetuskan kritikan meluas itu tanpa menghiraukan amaran pihak berkuasa untuk menggunakan kekerasan.

Presiden parti pemerintah, Liga Muslim Pakistan (PML), Chaudhry Shujaat Hussain berkata, Pervez memahami akibat daripada kegagalan untuk menarik balik langkah tersebut.

“Saya pasti perintah darurat akan berakhir dalam dua hingga tiga minggu lagi memandangkan Presiden menyedari kesan mengenakan perintah darurat yang berpanjangan,” kata Chaudhry dalam laporan akhbar Dawn hari ini.

Pegawai kerajaan telah menyatakan, pilihan raya umum akan tetap diadakan pada Januari depan tetapi Pervez belum menjelaskan bila pengundian akan berlangsung atau bila perintah darurat akan berakhir.

Pihak pembangkang berharap kempen mereka menjadi lebih berkesan dengan sokongan masyarakat antarabangsa yang telah mengutuk penahanan semakin ramai peguam dan penentang politik.

Pemimpin pembangkang, Benazir Bhutto dalam kenyataan paling keras sejak Pervez mengisytiharkan darurat pada Sabtu lalu berkata, dunia perlu memaksa Presiden menarik balik perintah itu atau mendesaknya berundur.

“Jika beliau enggan berundur, maka saya berpendapat masyarakat antarabangsa mesti membuat pilihan antara beliau dengan rakyat Pakistan,” kata Benazir dalam wawancara dengan stesen televisyen Channel 4 News dari Britain.

Benazir yang tiba di ibu negara semalam sepatutnya menemui para pemimpin parti-parti kecil hari ini meskipun sebilangan mereka telah ditahan.

Beliau belum menggerakkan kuasa rakyat tetapi berkata, Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan beliau akan melancarkan rapat umum protes di bandar Rawalpindi pada Jumaat ini.

“Kami mengutuk pengharaman yang dikenakan oleh kerajaan dan ingin menegaskan para pemimpin dan penyokong kami akan berada di Rawalpindi untuk menghadiri rapat umum,” kata anggota kanan PPP, Babar Awan.

Pemimpin Parti Gerakan Keadilan yang juga bekas bintang kriket Pakistan Imran Khan juga menyeru rakyat memprotes perintah darurat itu.

‘‘Jika kita tidak melawan, Pakistan akan menuju kemusnahan,’’ kata Imran dalam rakaman video dari tempat persembunyian.

Pada masa yang sama, Datuk Bandar Rawalpindi, Javed Akhlas memberi amaran, polis akan dikerahkan habis-habisan untuk menghalang sesiapa pun daripada memasuki taman di mana Benazir berharap untuk berucap kepada penyokongnya Jumaat ini.

“Kami akan memastikan mereka tidak melanggar perintah yang mengharamkan perhimpunan, dan kerajaan akan bertindak mengikut undang-undang jika mereka berbuat demikian,” kata Javed.

Datuk Bandar itu mendakwa, ada kemungkinan besar Benazir menghadapi satu lagi ancaman serius serangan berani mati ke atas beliau.

“Kami tidak boleh mengambil risiko dengan membenarkan mana-mana parti politik mengadakan rapat umum besar-besaran,” kata beliau.

Pertempuran dengan penyokong Benazir atau satu lagi serangan berdarah ke atas beliau boleh memarakkan lagi krisis politik yang meletus apabila Pervez mengisytiharkan darurat pada Sabtu lalu.

– Agensi

0 Komentar untuk "Pervez tarik balik darurat? -- Parti-parti pembangkang teruskan bantahan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI