Rencana Pengarang
UCAPAN dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertajuk ‘Memperkukuh Keyakinan – Meneroka Era Baru’ bukan sahaja didengar oleh 2,525 perwakilan UMNO, ketua-ketua parti komponen Barisan Nasional (BN) tetapi juga oleh jutaan ahli parti itu dan rakyat yang menonton Perhimpunan Agung UMNO ke-58 di televisyen semalam.
Bersesuaian dengan negara kita masih meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-50, adalah wajar Perdana Menteri memberikan amanat dan pendirian beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO yang pertama untuk 50 tahun akan datang ini.
Sebagai pemimpin negara, Abdullah menggariskan apa yang patut dipertingkatkan dan diberi nilai tambah, di samping mengingatkan apa yang perlu dijaga serta dipertahankan.
Hakikat negara kita sudah memasuki fasa kedua 50 tahun merdeka perlu terpahat kuat di fikiran rakyat khasnya orang Melayu. Sebab itu orang Melayu tidak boleh lagi bernostalgia dengan pencapaian dan kejayaan lalu sahaja.
Kerajaan BN yang diterajui UMNO telah menyediakan pelan strategi pembangunan bukan sahaja untuk menuju negara maju pada tahun 2020 tetapi juga 50 tahun akan datang menjelang sambutan ke-100 kemerdekaan negara.
Kita perlu faham bahawa apa yang kerajaan rancang dan laksanakan sekarang iaitu merangkumi sektor agama, pendidikan, ekonomi dan sosial sesungguhnya bukan untuk dibangga dan dimegahkan oleh orang Melayu semata-mata.
Tetapi alangkah lebih bermakna jika segala rancangan pembangunan yang dibuat oleh Presiden UMNO itu bukan sahaja disambut dengan tepukan tetapi dilaksanakan hingga berjaya.
Hakikatnya sekarang, Abdullah mengajak semua orang Melayu tanpa mengira latar belakang politik supaya bangkit menyertai langkah memasuki fasa kedua 50 tahun merdeka.
Untuk itu Melayu perlu berani. Unsur-unsur ‘racun minda’ seperti rasa rendah diri, kurang upaya dan takut hadapi persaingan dan cabaran yang sekian lama melekat di dalam diri perlu dibuang. Gantikan racun minda itu dengan fikiran berani dan tidak takut meritokrasi. Kita mahu lebih ramai Melayu yang berjaya dalam pelbagai bidang.
Contoh terbaik ialah, kita ingin melihat orang Melayu tidak mensia-siakan pembangunan wilayah melalui koridor ekonomi di sebelah selatan, utara dan Pantai Timur. Penduduk kawasan ini yang majoritinya orang Melayu patut terlibat dalam pembangunan koridor ini dan bukan sekadar menjadi pemerhati semata-mata.
Memang apabila memperkatakan isu-isu yang dilihat banyak membantu orang Melayu dan Islam, ia akan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kaum bukan Melayu/Islam.
Namun Presiden UMNO sudah memberi jaminan, melalui semangat perkongsian kuasa, UMNO tidak akan membiarkan kerjasama politik dalam BN terjejas.
Dalam kita melangkah era baru untuk mencapai gagasan 2057, orang Melayu tidak boleh ditinggalkan sendirian dan ingat perpaduan antara kaum tetap merupakan kunci kestabilan dan kemajuan negara.
0 Komentar untuk "Melayu perlu bangkit memasuki fasa kedua 50 tahun"